Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah terlibat dalam Karnival STEMFINITY IN ME di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru yang diadakan untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Dalam karnival tersebut, Nuklear Malaysia mengambil bahagian dengan mengadakan pameran interaktif yang menampilkan alat pengesanan sinaran persekitaran dan alatan kebuk awan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai penggunaan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian dan kepentingannya dalam pembangunan negara.

Selain memupuk kesedaran tentang nuklear, karnival berkenaan juga menekankan kepentingan pendidikan STEM dalam melahirkan pelajar yang bersedia untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan berteknologi tinggi.
Berbagai-bagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang karnival berlangsung termasuklah pameran, pertandingan, bengkel sains interaktif, ceramah dan permainan pendidikan yang berasaskan STEM, di samping pelbagai gerai yang mempamerkan teknologi terkini dan inovasi oleh syarikat tempatan, agensi kerajaan dan universiti.

Secara keseluruhannya, karnival yang dianjurkan itu bukan sahaja berjaya menarik minat pelajar terhadap STEM, malah memberikan inspirasi dan pendedahan yang mendalam tentang dunia sains kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival tersebut.