Diterbitkan pada 19 Julai 2024, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Dalam usaha memastikan kelestarian kebersihan dan alam sekitar terus kekal terpelihara, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menubuhkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) yang pertama di negeri ini.

Pembukaan DTRC oleh MBMB itu diharapkan dapat membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah sedia ada di Melaka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, YBhg. Datuk Rais Yasin berkata, pengoperasian DTRC itu merupakan antara indikator MBMB ke arah mencapai matlamat bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2025.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, YBhg. Datuk Rais Yasin (dua dari kiri) melihat barangan yang dihantar oleh orang awam untuk dikitar semula.

Menurut beliau, DTRC yang terletak di Taman Bandaraya Bukit Serindit merupakan satu inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh MBMB sebagai satu daripada bentuk pendidikan selain memberikan kesedaran kepada komuniti bandar raya tentang kepentingan aktiviti kitar semula.

Ujar beliau,

Inisiatif ini merupakan galakan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar semua pihak berkuasa tempatan mewujudkan DTRC di setiap kawasan pentadbiran masing-masing.

Jelas beliau, pelaksanaan DTRC berupaya memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti tentang kepentingan kitar semula dalam pemeliharaan alam sekitar selain menggalakkan komuniti untuk menjana ekonomi melalui penjualan barangan kitar semula.

Kaunter pandu lalu DTRC di Taman Bandaraya Bukit Serindit yang bersifat mesra pengguna.

Beliau berkata,

Melalui inisiatif ini juga kita dapat memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah dengan mengurangkan sisa yang dihantar kerana berdasarkan statistik yang diperoleh, sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan sampah mencatatkan sebanyak 1300 tan sehari.

Beliau juga menyatakan bahawa idea konsep pandu lalu DTRC di kawasan itu bersifat mesra pengguna dan dapat memudahkan komuniti serta orang awam menghantar barangan untuk dikitar semula.

Tambah beliau,

Norma dan budaya kitar semula ini perlu diterapkan dan diamalkan dalam kalangan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran yang indah, bersih serta selesa dan membentuk komuniti bandar raya yang mengamalkan gaya hidup mampan selain DTRC ini dapat diperluas di kawasan lain pada masa akan datang.

Selain DTRC, penganjuran program Anda Kitar, Kami Bayar yang turut dilaksanakan oleh MBMB sebelum ini turut mendapat sambutan yang hebat sejak dilaksanakan pada tahun 2022.

Ujarnya,

Hal ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kitar semula semakin meningkat dan saya berharap orang ramai dapat bersama-sama menerapkan amalan hijau di negeri ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi