Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Kumpulan inisiatif penyelidikan Ocean, Research, Conservation and Advances (ORCA) dan Stesen Penyelidikan Marin (MARES), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah mengikuti Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis di Hutan Simpan Bukit Jernih.
Ekspedisi ini dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis yang turut melibatkan komuniti di Kampung Bukit Jernih dan Persatuan Perlis Climbers.
Ekspedisi yang dianjurkan pada kali ini mengumpulkan ahli penyelidik dari pelbagai universiti, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di Pusat Rekreasi Bukit Jernih, Chuping, Perlis.
Sebanyak sembilan denai penyelidikan telah dikenal pasti oleh pengelola, misalnya denai batuan dan fosil, denai tumbuh-tumbuhan, denai reptilia dan sebagainya.
Para penyelidik ORCA dan MARES yang terdiri daripada Puan Aziani Ahmad, Puan Zamzila Erdawati Zainol, Encik Khairul Naim Abd. Aziz dan Encik Sharir Aizat Kamaruddin telah ditempatkan di denai hidupan akuatik.
Proses persampelan ikan untuk mengenal pasti spesies telah dilakukan dengan menggunakan jaring di empat buat lokasi dan setiap lokasi ini telah direkodkan kedudukan latitut dan longitut dengan menggunakan alat sistem penentu kedudukan global (GPS).
Menurut Encik Khairul Naim Abd. Aziz, pemilihan lokasi penangkapan ikan akan mempengaruhi biodiversiti ikan yang ditangkap.
Jelas beliau,
Setiap lokasi penurunan jaring perlu direkodkan bagi mengetahui kesan fizikal alam sekitar dan aktiviti antroprogenik terhadap taburan spesies ikan air tawar yang dijumpai.

Antara spesies ikan air tawar yang berjaya direkodkan selepas proses pengenalpastian spesies dilakukan termasuklah ikan baung, sebarau, temperas, terbul, seluang, lampam, baguh dan sebagainya.

Sementara itu, Puan Zamzila Erdawati Zainol berkata, spesies ikan yang ditemukan boleh memberikan maklumat tentang situasi sebenar komposisi dan komuniti ikan air tawar di Bukit Jernih bagi tujuan konservasi.
“Proses mengenal pasti hidupan ikan air tawar di kawasan ini memberikan ruang untuk pihak terbabit agar peka akan perlindungan biodiversiti, mengetahui tekanan penangkapan ikan yang berlebihan, merangka strategi pemulihan keadaan ekologi ikan air tawar dan menilai potensi pembiakan spesies ini secara mampan,” kata beliau.
Pada waktu malam pula, aktiviti perkongsian ilmu dan hasil penyelidikan diadakan bagi memberikan maklumat tentang hasil dapatan kajian yang telah dilakukan pada waktu pagi dan petang.
Kumpulan penyelidik ORCA dan MARES yang diwakili oleh Puan Aziani Ahmad membuat pembentangan tentang jumlah spesies yang dijumpai ketika aktiviti persampelan dibuat.
Beliau berkata, ikan banyak dijumpai di kawasan kedalaman air yang dalam dan jauh daripada kesan antropogenik yang banyak.

Kata beliau,
Variasi dan populasi ikan dipengaruhi oleh keadaan sungai yang lebih dalam dan persekitaran yang kurang mengalami kesan antropogenik seperti kawasan tumpuan pelawat untuk bermandi-manda dan berkhemah.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pemandu arah ekspedisi tersebut, iaitu Encik Abd Qhatib Al-Amin Muhammad dan Encik Suzairi Suaain yang telah membantu dalam proses penurunan jaring dan penangkapan ikan.
Aktiviti persampelan data ikan juga turut dibantu oleh Pembantu Makmal, UiTM Cawangan Perlis, Encik Syed Muhamad Azreen Syed Nazri, pelajar pascasiswazah UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohamad Haqimi Dahlan serta Pembantu Laut, Pejabat Perikanan Negeri Perlis, iaitu Encik Anuar Ali dan Encik Muhammad Saiful Azuan Zakaria.
