Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Keunggulan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang merupakan bangunan ikonik di ibu kota bertambah menarik apabila diterangi dengan cahaya hijau pada setiap malam untuk menandakan masuk waktu solat maghrib dan isyak bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Idea untuk inisiatif unik ini tercetus secara spontan seusai majlis pelancaran “Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman” di Menara KL pada 15 Januari lalu yang mengangkat tema “Azan” sebagai fokus utama.
Menerusi program berkenaan, seruan azan di TV3 yang telah sekian lama menjadi panduan harian umat Islam diperkenalkan dalam versi baharu.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) menerusi pendekatan yang lebih segar dan inovatif, termasuklah penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
Azan baharu tersebut yang dibawakan dengan keindahan suara syahdu dan merdu oleh Sheikh Abdul Karim Umar Al Makki telah bermula dengan kemunculan sulungnya pada tarikh yang sama, hasil usaha sama antara Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dengan MPTN.
Diilhamkan daripada makna majlis tersebut, MKLSB pada hari yang sama, memperkenalkan pencahayaan hijau sebagai peringatan masuknya waktu solat, sekali gus sebagai usaha mendekati komuniti setempat.
Menurut YBrs. Encik Nazli Saad, Ketua Pegawai Eksekutif MKLSB, kerjasama pihaknya bersama-sama MPTN termasuklah TV3, TV9 dan Tonton mencerminkan komitmen bersama dalam mempromosikan nilai positif dan mengukuhkan perpaduan.
Ujar beliau,
Pencahayaan hijau ini ialah cara yang ringkas, tetapi bermakna untuk memberikan inspirasi kepada refleksi dan menggalakkan kebersamaan dalam komuniti kita.
Tambah beliau, inisiatif ini mengukuhkan dedikasi MKLSB dalam menyumbang kepada masyarakat dengan menyokong pelbagai program yang memupuk perpaduan budaya dan sosial.
Menurut Encik Ruzmi, Ketua Jabatan Pengisian Islam MPTN, MPTN percaya bahawa azan merupakan lambang perpaduan dan penghubung rohani bagi umat Islam di seluruh dunia.
Ujar beliau,
Pembaharuan ini bukan sahaja memberikan sentuhan segar dari segi visual dan audio, tetapi juga mencerminkan penghormatan terhadap tradisi suci yang tidak pernah pudar nilainya.
Tambah beliau, azan baharu ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pengalaman baharu yang lebih bermakna untuk penonton, sambil memperluas mesej keagamaan melalui platform digital dan televisyen sebagai medium skrin kedua.
“Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman” yang dibawakan oleh TV3, TV9 dan Tonton dalam bentuk empat siri istimewa bertujuan untuk memberikan inspirasi serta pengisian rohani kepada penonton.
Program ini menampilkan tokoh agama terkemuka bersama-sama tetamu jemputan yang berkongsi hikmah, pandangan dan pengalaman mereka terhadap topik yang ditampilkan.
Program ini yang dihoskan oleh Fedtri Yahya dan Hj. Ahmad Noor Sulaiman membawakan perbincangan yang penuh ilmu dan mendalam.
Ahli panel jemputan berwibawa, iaitu Ustaz Adnin Roslan dan Ustaz Khairul Anuar turut mengupas topik yang menyentuh hati mengenai nilai dan penghayatan azan dalam kehidupan umat Islam.
Yang turut hadir dalam program tersebut ialah YBrs. Encik Ruzmi Kamarudin, Ketua Jabatan Pengisian Islam MPTN dan Ustaz Khairul Anuar Basri yang tampil sebagai panel jemputan.