Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN komited untuk memperkasakan pertumbuhan digital yang terangkum, merapatkan jurang digital dan membina kerjasama akademik serantau.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dalam ucapan perasmian Pertandingan ICT Huawei 2024-2025 peringkat Asia Pasifik yang bertujuan memupuk bakat digital dan memperkasakan generasi muda dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berlangsung semalam.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menekankan keupayaan generasi baharu dalam menguasai teknologi secara lebih mendalam berbanding generasi terdahulu dan turut mengalu-alukan peranan syarikat terkemuka seperti Huawei Malaysia dalam menyokong agenda tersebut.

“Cara mereka memahami bahasa teknologi menunjukkan bahawa mereka adalah generasi yang benar-benar celik teknologi. Perkara ini yang disebut sebagai generasi ICT atau ‘warganegara digital baharu’,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan bakat digital sebagai tunjang kepada transformasi digital, namun mengakui wujud jurang antara penawaran tenaga kerja dengan keperluan industri.

“Latihan bakat mesti selari dengan perkembangan pesat teknologi digital. Hal ini bermakna bahan pengajaran, kursus dan kemudahan untuk bereksperimen perlu dikemas kini secara berterusan,” tambah beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Wakil Tetap Misi Tetap Lao PDR ke ASEAN, Encik Kongsada Detvongsone; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi, YBrs. Dr. Azlinda Azman; Naib Presiden Huawei Asia Pasifik, ncik Alex Zhang dan Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation, YBrs. Dr. Piti Srisangnam.

Pertandingan ICT Huawei yang bermula sejak 2015 telah menarik penyertaan lebih 750 000 peserta dari seluruh dunia dan terus menjadi platform penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor ICT.

Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 sedang dirangka dengan matlamat mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan sejajar dengan keperluan industri.

“Dengan menyelaraskan kurikulum akademik dengan keperluan industri, kita dapat melahirkan graduan yang serba boleh serta berdaya saing dalam persekitaran global pesat,” kata YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Pertandingan ini dijangka terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh sinergi antara akademia dengan industri, membina ekosistem digital yang mampan serta memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui bakat teknologi yang berkualiti.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi