Diterbitkan pada 2 Mei 2025, 18:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Geneva – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Yang Berhormat (YB) Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Basel Action Network (BAN) dan meneruskan komitmen Malaysia untuk membanteras pengimportan haram e-sisa dan plastik, khususnya dari negara maju.  

Demikian menurut kenyataan beliau yang sedang menghadiri Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (BRS COPs) di Geneva, Switzerland yang berlangsung dari 28 April hingga 9 Mei 2025, pagi tadi.

“Perbincangan saya bersama-sama Pengarah Eksekutif dan Pengasas BAN, Jim Puckett menumpukan kepada usaha Malaysia untuk memintas dan menghantar pulang kontena sisa haram serta kepentingan kerjasama dalam perkongsian maklumat dan penguatkuasaan serantau,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa Malaysia perlu memainkan peranan aktif, terutamanya pada peringkat antarabangsa bagi menjaga kepentingan negara dalam usaha menangani isu pencemaran alam sekitar, khususnya pengawalan pergerakan sisa berbahaya dan pengimportan bahan kimia berbahaya rentas sempadan.

Kehadiran saya ke Mesyuarat Peringkat Tinggi BRS COPs ini adalah sebagai komitmen tinggi Malaysia terhadap isu kawalan pergerakan rentas sempadan bagi sisa berbahaya dan pelupusannya memandangkan Malaysia merupakan antara negara membangun yang aktif dan lantang dalam menyuarakan pendirian dan pandangan di meja rundingan, terutamanya bagi kawalan kemasukan sisa berbahaya dan bahan berbahaya ke dalam negara.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat ini berperanan sebagai platform pertama negara untuk membawa suara ASEAN, iaitu ASEAN bukan destinasi untuk menghantar sisa toksik, bermasalah, sukar dikitar semula dari seluruh dunia.

Sebagai rekod, BRS COPs merupakan tiga perjanjian utama berkaitan dengan pengurusan bahan kimia dan sisa berbahaya, iaitu Konvensyen Basel yang menekankan pengurangan penjanaan sisa berbahaya dan kawalan pergerakan sisa dan bahan kimia berbahaya rentas sempadan; Konvensyen Rotterdam yang mengawal perdagangan antarabangsa bahan kimia berbahaya; dan Konvensyen Stockholm yang berkaitan dengan kawalan terhadap bahan kimia pencemar organik kekal (POPS).

YB Nik Nazmi juga berkesempatan mengadakan pertemuan dengan wakil Business Coalition for a Global Plastics Treaty dan  Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC), Puan Jyoti-Mathur Filipp bagi membincangkan kaedah Perjanjian Plastik Global dapat dimuktamadkan dan dilaksanakan secara adil, berkesan dan praktikal.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi