Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Karang – Sebanyak 43 orang pelajar dari Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai kerja lapangan entomologi selama dua hari satu malam di Pusat Latihan dan Kemudahan Pusat Perumahan Pelajar UKM, Tanjung Karang.
Program ini merupakan sebahagian daripada kursus Kaedah Parasitologi dan Entomologi Perubatan yang bertujuan memberikan pemahaman dan pendedahan yang lebih mendalam tentang ekologi dan kitaran hidup serta peranan serangga dalam kesihatan manusia.
Dalam sesi entomologi forensik yang dikendalikan oleh pakar entomologi UKM, YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman, dua ekor bangkai arnab telah diletakkan di lokasi kerja lapangan selama tiga hari sebagai persediaan sebelum aktiviti lapangan bermula dan pelajar diberikan tugasan untuk menganalisis tahap pereputan, merekod berat, suhu bangkai dan persekitaran.
Sesi itu juga memerlukan pelajar mengumpulkan larva dan lalat dewasa yang kemudiannya diawet di dalam botol spesimen untuk diproses menjadi slaid mikroskopik di makmal selepas tamat kerja lapangan.
Menurut YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman, pengetahuan tentang kitaran hidup lalat amat penting dalam bidang forensik kerana ilmu ini membantu dalam menentukan anggaran masa kematian manusia.
“Lalat melalui perubahan kitaran hidup yang berperingkat, iaitu bermula dari telur, larva, pupa sehinggalah menjadi lalat dewasa dan setiap tahap ini boleh digunakan untuk mengganggarkan waktu kematian dalam siasatan forensik,” jelas beliau.

Selain itu, para pelajar turut dilatih dalam teknik pengumpulan sampel larva nyamuk dengan menggunakan kaedah cedokan (dipping) serta aplikasi larvisid Abate® dan seterusnya memulakan aktiviti tinjauan larva nyamuk di sekitar lokasi kerja lapangan berhampiran dengan Jalan Sungai Kajang Lama, Pekan Tanjong Karang di bawah bimbingan YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon dan YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam.


Melalui tinjauan tersebut, pelajar mengenal pasti spesies nyamuk seperti Anopheles, Aedes, Culex dan Mansonia yang berkait rapat dengan penyakit seperti malaria, denggi dan ensefalitis.
Program ini turut merangkumi penangkapan nyamuk dewasa melalui kaedah umpan manusia dan perangkap cahaya CDC yang dijalankan dari pukul 6.00 petang hingga pukul 10.00 malam.

Pelajar kemudiannya melakukan proses pengepinan dan pelabelan sampel bagi tujuan pengenalpastian spesies, data populasi, analisis epidemiologi dan penyelidikan saintifik.
