Kuala Lumpur – Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 20250merupakan acara tahunan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dan memperkukuh pemahaman serta penghayatan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada tahun ini, Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 akan diadakan di Pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 17 Julai hingga 20 Julai 2025.
Menara Kuala Lumpur akan disinari cahaya lampu berwarna biru pada 18 Julai dan 19 Julai 2025.
Sebagai tanda sokongan kepada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 tersebut, Menara Kuala Lumpur (MKL) akan disinari cahaya lampu berwarna biru pada 18 dan 19 Julai 2025.
Menurut Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, simbolik cahaya berwarna biru di MKL menandakan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.
“Kementerian Perpaduan Negara berterima kasih atas sokongan yang ditunjukkan oleh Menara Kuala Lumpur sebagai rakan strategik kementerian dalam mempromosikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Othman selaku pengendali MKL mengatakan pihak beliau menyokong usaha yang ditunjukkan oleh KPN dalam menyebar luas kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Dengan menerangi mercu tanda Kuala Lumpur, kami dapat menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa perpaduan adalah tanggungjawab bersama,” ujar Encik Khairil Faizal Othman.