Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Kehebatan maritim orang Melayu terserlah melalui “psiko pelayaran” yang membuktikan kemampuan mereka belayar merentas lautan tanpa menggunakan kompas atau carta.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Sejarah dan Perundangan Diraja Terengganu, YBhg. Dato’ Haji Mohd. Yusof Abdullah berkata, perjalanan ditentukan dengan berpandukan alam seperti bulan, bintang, mata angin, jenis angin, pokok, hidupan laut, burung, batu karang, warna air, bentuk gelombang dan rupa bumi, selain memanfaatkan pancaindera seperti penglihatan, pendengaran dan deria rasa.

Beliau menyampaikan huraian itu sebelum mengakhiri pembentangan kertas kerja bertajuk “Bangsa Melayu: Psycho Boat Building dan Psycho Navigation” ketika menjadi ahli panel kedua dalam Wacana Etnosains dan Teknologi (Siri 5): Perkapalan Alam Melayu di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
Dalam pembentangan tersebut, beliau menjelaskan kearifan orang Melayu dalam ilmu pengangkutan air termasuklah keupayaan untuk memilih bahan, mencipta dan menggunakan peralatan, membina perahu serta mengemudikannya.
Kupasannya turut disertakan paparan gambar dan rajah yang menggambarkan evolusi pengangkutan air di negara ini, bermula daripada penggunaan batang kayu, rakit, batang kayu ditebuk sehinggalah kepada reka bentuk moden.
Menurutnya, terdapat dua kaedah utama dalam pembinaan perahu, iaitu kaedah tradisional yang melibatkan pembinaan rangka diikuti pemasangan papan dan sekatan untuk memastikan struktur kukuh dan kedap air, serta kaedah moden.
Menyentuh “psiko pembinaan perahu”, beliau turut mengagumi keistimewaan orang Melayu yang mampu menyiapkan perahu tanpa pelan, kerangka atau paku.
Wacana ini turut menampilkan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, YBrs. Dr. Ahmad Jelani Halmi, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd. Yuszaidy Mohd. Yusoff serta Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, Encik Abdul Ghani Abu selaku moderator.
Turut hadir dalam program ini, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Encik Mohamad Muda Baharin, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Johari Md. Hassan dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.