Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Webinar Perkongsian AKRAB Penjara Malaysia Siri 3 Tahun 2025 yang berlangsung secara dalam talian, semalam berjaya menghimpunkan 337 pegawai dan ahli AKRAB dari seluruh negara untuk mendalami isu kesihatan mental di tempat kerja.
Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Latihan Pegawai Penjara (PULAPEN) Johor dengan kerjasama Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang.
Penceramah jemputan, Puan Manisah Saedon menyampaikan ceramah bertajuk “Burnout dalam Diam: Memahami Ancaman Senyap terhadap Kesejahteraan Diri” yang menekankan kepentingan mengenal pasti tanda awal keletihan melampau.
Fenomena lesu upaya mula diperkenalkan pada tahun 1970-an oleh pakar psikologi, Herbert Freudenberger yang menggambarkannya sebagai keadaan individu yang kosong dan tidak lagi berfungsi, ibarat bangunan yang habis terbakar.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini mengiktiraf lesu upaya sebagai sindrom pekerjaan akibat tekanan kerja kronik yang tidak diuruskan yang diwakili tiga ciri utama, iaitu keletihan tenaga, mempunyai sinisme terhadap pekerjaan dan penurunan keberkesanan profesional.
WHO turut melaporkan bahawa masalah kesihatan mental, termasuklah lesu upaya menyebabkan kerugian ekonomi global mencecah AS$1 trilion setahun, manakala di Malaysia nilainya dianggarkan sekitar RM14.46 bilion atau 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Laporan Wellness at Work 2023 pula mendedahkan bahawa 67 peratus tenaga kerja Malaysia mengalami lesu upaya berbanding dengan 58 peratus pada tahun 2022.
Golongan milenial dan Gen Z pula dilihat paling terkesan akibat isu keseimbangan kerja dan kehidupan.
Dalam sesi perkongsian selama dua jam itu, Puan Manisah Saedon berkongsikan bahawa tanda awal lesu upaya termasuklah sakit kepala atau sakit badan yang kerap, sistem imun yang lemah, gangguan tidur dan selera makan, perasaan putus asa, mudah marah, hilang motivasi serta penurunan prestasi kerja.

Beliau turut membentangkan strategi seperti menetapkan sempadan kerja, mengamalkan teknik pernafasan, melakukan aktiviti fizikal, menulis jurnal serta memastikan rehat yang mencukupi bagi mengurus tekanan secara lebih berkesan.
Katanya,
Kita tidak boleh terus memberi sehingga mengorbankan diri sendiri, sebaliknya belajarlah menghargai diri dahulu sebelum memberi kepada orang lain.
Menurut urusetia PULAPEN Johor, Sarjan Fauziahana Muidin, pendekatan penyampaian program ini lebih santai dan mesra peserta, lalu menjadikan pengalaman pembelajaran lebih mudah difahami serta dihayati.
Pegawai Psikologi BAKA, Jabatan Penjara Malaysia, Kajang, Puan Shamshinar Ahmad Basir pula menyifatkan respons peserta amat positif dan menyatakan penghargaan atas perkongsian ilmu yang memberikan manfaat yang besar kepada warga kerja Jabatan Penjara.