Diterbitkan pada 2 November 2025, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pelabuhan Klang – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi musim monsun timur laut yang dijangkakan bermula pada November hingga pertengahan tahun hadapan.

Selari dengan hasrat pengurusan tertinggi jabatan, Pengujian dan Pemeriksaan Logistik Operasi Banjir yang diadakan serentak di seluruh negeri Selangor bukan sahaja melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, malah membabitkan kesemua 38 balai bomba di seluruh negeri.

Aktiviti pengujian tersebut dipantau oleh para pegawai zon serta barisan pegawai kanan dari Ibu Pejabat JBPM Negeri Selangor bagi memastikan setiap aset dan anggota berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.

Bot diuji bagi memastikan kesiapsiagaan terhadap sebarang bencana yang bakal berlaku.

Menurut Pengarah JBPM Negeri Selangor, Tuan Wan Md Razali Wan Ismail, kesiapsiagaan yang dilaksanakan bukan hanya melibatkan pegawai bomba sepenuh masa, tetapi turut disertai oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Komuniti (PBK) yang berperanan penting dalam operasi bantuan bencana pada peringkat akar umbi.

Beliau berkata, JBPM Negeri Selangor kini mempunyai kekuatan keseluruhan sebanyak 9840 orang pegawai dan anggota yang terdiri daripada 1752 orang anggota bomba sepenuh masa, 1212 orang anggota PBS dan 6876 orang anggota PBK.

Gabungan tenaga ini akan digerakkan mengikut keperluan bagi memastikan tindakan pantas dan terkoordinasi dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana banjir.

Dari segi keupayaan logistik pula, lebih daripada 200 unit aset darat dan 100 unit aset marin telah disediakan yang melibatkan aset JBPM Negeri Selangor, PBS dan PBK di seluruh negeri.

Kesemua aset tersebut meliputi pelbagai jenis bot, jentera penyelamat, pam air dan kenderaan pacuan empat roda yang akan digerakkan mengikut keperluan di kawasan berisiko banjir.

“Aset seperti bot akan digerakkan jika diperlukan, manakala aset darat dan aset marin yang diuji membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat dan memastikan semua peralatan dapat digunakan dengan sempurna sekiranya bencana berlaku,” ujar Tuan Wan Md Razali Wan Ismail.

Pemeriksaan rapi terhadap setiap aset dilakukan bagi memastikan persediaan awal dapat dibuat untuk menghadapi monsun timur laut.
Setiap aset marin dipastikan berada dalam keadaan baik dan bersiap sedia untuk digunakan apabila diperlukan, khususnya menjelang musim banjir yang bakal tiba.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Ketua Pengarah JBPM, Yang Amat Setia Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad dalam lawatan rasmi ke BBP Pelabuhan Klang bersempena dengan Hari Pengujian dan Pemeriksaan Operasi Banjir.

Program berkenaan memberikan tumpuan pada semakan menyeluruh terhadap peralatan menyelamat, jentera, bot, pam air serta kelengkapan perlindungan diri anggota bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik dan sedia digerakkan pada bila-bila masa.

Program tahunan ini turut menjadi platform untuk menilai tahap kecekapan anggota serta kesediaan logistik jabatan dalam menghadapi cabaran monsun timur laut yang sering memberikan risiko banjir di beberapa daerah di negeri Selangor.

Dengan kesiapsiagaan menyeluruh dari segi tenaga kerja, aset dan strategi operasi, JBPM Negeri Selangor komited memastikan setiap tindakan penyelamatan dapat dilaksanakan dengan pantas, cekap dan berkesan demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Kredit Foto: JBPM Negeri Selangor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi