Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Buloh – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meluaskan program Jelajah AI MyMahir ke seluruh negara sebagai langkah proaktif mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi ekonomi berteraskan kecerdasan buatan (AI).
Program peningkatan kemahiran berasaskan komuniti ini diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan nilai kerjasama strategik mencecah RM110 juta.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan menegaskan bahawa pendekatan Malaysia terhadap teknologi AI haruslah bersifat inklusif, berteraskan rakyat dan berpaksikan keperluan sebenar di tempat kerja. Beliau berkata demikian sebelum melancarkan program tersebut di Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.
Menurut beliau, kerajaan bertanggungjawab memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus pemodenan ini.
Program Jelajah AI MyMahir peringkat nasional ini disasarkan untuk dilaksanakan di 60 kawasan parlimen di seluruh negara. Inisiatif ini menekankan latihan AI secara praktikal yang boleh digunakan serta-merta untuk meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran.
“AI kini sedang membentuk semula cara rakyat Malaysia bekerja merentasi pelbagai sektor. Melalui TalentCorp, inisiatif ini digerakkan terus pada peringkat akar umbi bagi menterjemahkan pembangunan bakat negara kepada pembelajaran yang praktikal di tempat rakyat tinggal dan bekerja,” ujar YB Dato’ Sri Ramanan.
Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, YB Wong Shu Qi, turut menambah bahawa inisiatif ini mencerminkan anjakan strategi negara daripada sekadar membina kesedaran kepada pembinaan keupayaan sebenar dalam kalangan komuniti.
Kejayaan skala besar program ini didorong oleh kerjasama strategik antara TalentCorp dengan Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY Malaysia) menerusi program tanggungjawab korporat global, EY Ripples. Melalui pertukaran memorandum persefahaman, EY Malaysia akan menyalurkan kepakaran dalam penyediaan kandungan latihan yang sejajar dengan permintaan industri semasa.
Pelaburan bernilai RM110 juta ini dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 22 ribu rakyat Malaysia dengan pecahan 12 ribu peserta melalui siri Jelajah AI MyMahir dan 10 ribu peserta melalui inisiatif TalentCorp lain yang melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa universiti, golongan wanita serta veteran Angkatan Tentera Malaysia.
Sebagai rekod, program ini dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Teknologi AI Malaysia 2026 – 2030 dan matlamat Ekonomi MADANI untuk membina ekonomi berdaya tahan dan berproduktiviti tinggi. Setakat ini, empat program perintis telah berjaya dilaksanakan di Sabah dan Selangor dengan sambutan yang amat memberangsangkan.