Diterbitkan pada 26 Januari 2026, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memperuntukkan RM20 juta untuk memacu inisiatif pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar di seluruh negara dari tahun 2026 hingga 2030.
Ikrar yang diperbaharui ini yang disalurkan menerusi akaun simpanan EcoSave-i yang menggariskan dedikasi jangka panjang CIMB Islamic terhadap kewangan yang bertanggungjawab, pemerkasaan komuniti, pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan, sejajar dengan tujuan Kumpulan CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.
Komitmen ini telah dirasmikan semasa Pameran Hijau CIMB Islamic bersama-sama rakan kongsi pemuliharaan alam sekitar termasuklah Amanah Warisan Negara (AWAN), The Habitat Foundation, Reef Check Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia, WWF Malaysia, Dana Hutan Malaysia, Forest House, Leap Spiral, Your Idea Maker, Free Tree Society dan Penang Institute pada 24 Januari lalu.
CIMB Islamic juga memperbaharui perjanjiannya dengan AWAN, penjaga utama Taman Tugu untuk kesinambungan Program Pendidikan Alam Semula Jadi dan Pengangkatan Taman Tugu selama dua tahun lagi.
Pelaburan ini meningkatkan portfolio CIMB Islamic yang semakin berkembang dalam pemuliharaan alam semula jadi, perlindungan biodiversiti dan program alam sekitar di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Terengganu dan Sabah.
Melalui perkongsian strategik dengan rakan kongsi pemuliharaan alam semula jadi, institusi akademik dan kumpulan komuniti, CIMB Islamic menyalurkan dana secara berkesan dalam program bermakna yang memperkukuh daya tahan ekosistem jangka panjang dan mengekalkan mata pencarian masyarakat setempat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, YBrs. Encik Ahmad Shahriman Mohd. Shariff, misi pihak beliau untuk memajukan pelanggan dan masyarakat dibina atas dasar pengawasan alam sekitar dan daya tahan komuniti.
Ujarnya,
Melalui EcoSave‑i, kami mengoperasikan prinsip syariah dengan mengintegrasikan kemampanan ke dalam amalan perbankan harian.
Tambahnya,
Dengan menerapkan prinsip ini ke dalam tawaran kewangan teras, kami menyokong pembangunan yang inklusif, bertanggungjawab dan berdaya tahan dari segi ekologi untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, CIMB Islamic juga berbesar hati untuk melanjutkan sokongan terhadap 12 rakan kongsi pemuliharaan alam semula jadi, termasuk AWAN untuk menyokong pelbagai inisiatif alam sekitar yang berimpak di seluruh negara.
Katanya,
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, CIMB Islamic akan terus menyokong Program Pendidikan Alam Semula Jadi dan Pengangkatan Taman Tugu selama dua tahun lagi, dan hal ini mengesahkan semula komitmen kami terhadap Taman Tugu dan memperluas impak program melalui peningkatan jangkauan kepada sekolah dan komuniti B40.
Tambahnya,
“Komitmen yang diperbaharui melalui EcoSave-i membolehkan CIMB Islamic menyokong dari Semenanjung ke Malaysia Timur. Di koridor utara, usaha ini terus memperkukuh usaha biodiversiti dalam Rizab Biosfera Bukit Penang dan Taman Negeri Royal Belum, sambil melanjutkan pemulihan hutan dan mitigasi konflik manusia-gajah di Ulu Muda, Kedah.
Teras agendanya, tambah beliau, ialah perlindungan Central Forest Spine, seperti inisiatif dalam Lembah Klang yang merangkumi UPSI Edu-Forest, projek Ruang Hijau Bandar Rantaian dan Projek Penjaga Gunung yang memperkasakan belia orang asli sebagai generasi penjaga hutan seterusnya.
Selain itu, CIMB Islamic sedang meluaskan jejaknya di Setiu, di samping memulihkan pantai dan batu karang di Redang, Tioman dan kepulauan Mersing, manakala di Sabah, projek Tadahan Air Babagon yang menumpukan pada perlindungan kawasan tadahan jangka panjang dan Program Pemulihan Ulu Kalumpang turut disokong.
Melalui inisiatif yang pelbagai ini, EcoSave-i berfungsi sebagai contoh kaedah kewangan Islam yang mampu menggerakkan modal untuk kemampanan alam sekitar.
Jelasnya,
Berlandaskan prinsip penciptaan nilai sosial dan ekologi, kami terus memberikan impak positif yang berkekalan kepada alam sekitar, sambil memastikan kumpulan yang kurang mendapat perkhidmatan dimasukkan dalam peralihan ke arah ekonomi hijau.
EcoSave-i ialah akaun simpanan Islam yang berfokuskan alam sekitar pertama di Malaysia yang menyokong inisiatif pemuliharaan dan membentuk komponen utama rangka kerja Produk dan Perkhidmatan Impak Hijau, Sosial dan Mampan (GSSIPS) Kumpulan CIMB yang lebih luas, yang bertujuan untuk menggerakkan RM300 bilion dalam pembiayaan mampan menjelang tahun 2030.
Melalui EcoSave-i, CIMB Islamic menyumbang 0.2 peratus daripada jumlah purata baki portfolio setahun daripada dananya sendiri ke arah projek alam sekitar selain menawarkan insentif tunai bulanan sebanyak RM5 kepada pelanggan yang mengekalkan purata baki bulanan sebanyak RM5,000 tanpa transaksi di kaunter. Kempen ini membolehkan orang ramai menyumbang dan menyokong inisiatif pemuliharaan alam sekitar dengan membuka akaun secara dalam talian atau di mana-mana cawangan CIMB di seluruh negara.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi