Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepong – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menggariskan komitmen baharu dalam memperkukuh benteng pertahanan khazanah alam melalui pemerkasaan teknologi digital dan modal insan berkaliber tinggi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan bahawa sinergi antara teknologi pintar dengan integriti manusia merupakan kunci utama bagi memastikan kelestarian hutan simpan kekal di seluruh negara.
“Sebanyak 113 graduan yang diraikan pada hari ini diberikan gelaran sebagai ‘Graduan Abad Ini’ bersempena dengan ulang tahun ke-100 penubuhan Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN), sekali gus meletakkan harapan besar di bahu para graduan untuk menetapkan tanda aras baharu bagi pengurusan hutan untuk 100 tahun akan datang,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh bersempena dengan Majlis Penganugerahan Sijil Perhutanan Ke-37 FORTRAIN.
Menurut beliau, FORTRAIN telah melahirkan sebanyak 6369 graduan yang berkhidmat dalam pelbagai sektor seperti ekopelancongan, pengurusan sumber asli dan landskap di seluruh negara.
Ujarnya, tahun 2026 merupakan tahun pelaksanaan dan pecutan bagi agenda kelestarian alam serta turut menekankan bahawa pemeliharaan alam bukan sekadar tugas rutin, tetapi amanah yang memerlukan kebijaksanaan manusiawi.
Tambah beliau, penguasaan teknologi moden seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh dan dron penting dalam mendepani cabaran perhutanan kini.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa teknologi hanyalah alat bantu, manakala tindakan manusia di lapangan tetap menjadi penentu.
Jelasnya,
Dron boleh memantau dari udara, tetapi andalah yang bertindak di lapangan yang menunjukkan gabungan teknologi pintar dan intuisi renjer hutan adalah benteng pertahanan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembinaan dua bangunan asrama baharu di FORTRAIN.
Katanya, fasiliti ini menyediakan 98 buah bilik yang mampu menempatkan 196 orang pelatih pada satu-satu masa yang bertujuan untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik dan kondusif.
Beliau menyeru para graduan agar menjadikan integriti sebagai kompas utama dalam menyumbang kepada kelestarian hutan buat generasi akan datang.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan NRES dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dalam melahirkan modal insan berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing demi memastikan pengurusan hutan negara yang lestari dan mampan.