Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Tinggi – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan satu kluster tuberkulosis (Tibi) sedang merebak di sini dengan jumlah kes yang meningkat kepada 33 orang.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi sebelum ini telah mengesan satu kejadian wabak Tibi di sebuah lokaliti dalam daerah tersebut pada 25 Januari lepas.
Sehingga 4 Februari 2026, sebanyak 33 kes telah dikesan hasil daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif kepada 804 orang kenalan rapat. Kesemua pesakit kini menerima rawatan dan sedang menjalani pemantauan rapi di kemudahan kesihatan berdekatan.
Malangnya, satu kematian turut dilaporkan melibatkan seorang pesakit, namun kematian ini disahkan bukan disebabkan oleh penyakit Tibi yang dihidapinya.
Menurut JKNJ, penyakit Tibi turut dikenali sebagai batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara kepada kontak rapat yang berdekatan.
Gejala penyakit ini termasuklah batuk berpanjangan, hilang berat badan secara tiba-tiba, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam dan batuk berdarah.
Dalam kenyataannya, JKNJ menyatakan bahawa penyakit Tibi boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya melalui rawatan yang berkesan dengan tempoh rawatan minimum selama enam bulan.
Pihak kesihatan juga menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan sekitarnya, khususnya mereka yang mengalami gejala batuk berpanjangan atau mempunyai sejarah dengan pesakit Tibi, supaya segera menjalani saringan kesihatan di kemudahan kesihatan berhampiran.
Langkah ini penting bagi membendung penularan penyakit tersebut dalam kalangan masyarakat setempat.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau ingin menjalani pemeriksaan kesihatan boleh berhubung dengan klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan segera.
JKNJ akan terus memantau perkembangan situasi ini dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan masyarakat Kota Tinggi terpelihara.