Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau — Biologi merupakan satu daripada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di institusi pendidikan tinggi yang sering berdepan dengan stigma kursus sukar dengan peluang kerjaya terhad, namun hakikatnya bidang ini merupakan asas kepada pelbagai industri strategik negara yang semakin berkembang.
Menurut Penyelaras Projek Penyelidikan Tahun Akhir Bidang Biologi yang juga pensyarah di Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Ts. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir, persepsi masyarakat terhadap bidang tersebut masih belum mencerminkan realiti sebenar dunia sains hayat moden.
Beliau menjelaskan bahawa antara stigma paling lazim termasuklah tanggapan bahawa graduan Biologi hanya berakhir sebagai guru atau bekerja di makmal secara terasing daripada masyarakat, sedangkan bidang ini sebenarnya menjadi tunjang kepada sektor seperti bioteknologi, perubatan, farmaseutikal, keselamatan makanan serta sains alam sekitar.
Katanya,
Biologi bukan sekadar membezakan sel haiwan dan tumbuhan, tetapi merupakan asas kehidupan yang sentiasa relevan dalam pembangunan tamadun manusia.
Menurut beliau lagi, salah faham terbesar masyarakat ialah anggapan bahawa bidang Biologi tidak menawarkan kerjaya yang stabil dan berpendapatan baik, khususnya dalam konteks Malaysia yang sering dianggap lebih kepada pengguna teknologi berbanding dengan pencipta teknologi.
Graduan Biologi kini berpeluang bekerja dalam industri farmaseutikal, makmal diagnostik perubatan, syarikat bioteknologi, agensi perlindungan alam sekitar, industri makanan serta penyelidikan genetik penyakit berjangkit.
Beliau turut berkongsi bahawa minat pelajar terhadap bidang ini menunjukkan perubahan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dipengaruhi oleh kesedaran terhadap isu global seperti perubahan iklim, pandemik dan keselamatan makanan.
Generasi baharu juga semakin tertarik kepada integrasi bidang Biologi dengan teknologi digital, termasuk bidang genomik, bioinformatik dan bioteknologi, sekali gus mengubah persepsi bahawa Biologi hanyalah subjek hafalan semata-mata kepada bidang inovasi berimpak tinggi.
Kejayaan graduan turut membuktikan potensi luas bidang ini apabila banyak alumni terlibat dalam pembangunan teknologi penyuntingan gen, analisis genom rawatan kanser tersasar, penubuhan syarikat pemula bioteknologi serta perkhidmatan perunding biodiversiti bagi projek pembangunan berskala besar.
Malah, terdapat graduan yang menjadi pegawai penyelidik di institusi penyelidikan dalam dan luar negara, usahawan kultur tisu tumbuhan, pakar kawalan mutu industri farmaseutikal serta pakar data bioinformatik dalam sektor teknologi kesihatan.
Pada peringkat fakulti, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menangkis stigma terhadap bidang Biologi, termasuk kurikulum berorientasikan industri dengan latihan praktikal wajib, kolaborasi bersama-sama syarikat bioteknologi dan makmal diagnostik, integrasi kemahiran digital serta bioinformatik dalam pengajaran dan pendedahan kerjaya awal melalui perkongsian alumni serta pemain industri.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Universiti Teknologi MARA untuk melahirkan graduan yang kompeten dan relevan dengan keperluan semasa.
Mengulas kepada pelajar sekolah menengah yang berminat dalam bidang Biologi tetapi bimbang dengan persepsi masyarakat, beliau menasihatkan agar tidak membiarkan pandangan orang lain menentukan masa hadapan.
Ujarnya,
Jika anda ingin memahami kehidupan, alam, penyakit atau inovasi bioteknologi, Biologi ialah jalannya. Namun begitu, minat sahaja tidak mencukupi, para pelajar perlu sentiasa meneroka cabang baharu, membina kemahiran tambahan serta berfikiran kreatif dan kritis untuk menyelesaikan masalah kompleks dunia hari ini.
Beliau menegaskan bahawa bidang Biologi bukan lagi pilihan sampingan, sebaliknya keperluan strategik negara dalam menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks dan berasaskan sains.
Beliau ditemu bual selepas perjumpaan bersama-sama para pensyarah Unit Biologi di UiTM Cawangan Perlis.
