Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seramai 58 orang pelajar dan pengiring daripada program kejururawatan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuala Pilah telah mengadakan lawatan akademik ke Klinik Psikologi UKM bagi memperkukuh pemahaman teori melalui pendedahan kepada amalan klinikal sebenar dalam bidang kesihatan mental.
Pelajar yang terlibat merupakan pelajar tahun 3, Semester 1 Diploma Kejururawatan yang sedang mengikuti serta mengkhususi Modul Kesihatan Mental yang memberikan penekanan kepada penilaian status mental, komunikasi berkesan, pengurusan tingkah laku pesakit, intervensi psikososial asas serta sokongan holistik kepada pesakit dan keluarga. Lawatan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri pengaplikasian teori yang dipelajari dalam persekitaran klinikal sebenar.
Sepanjang lawatan, para pelajar didedahkan kepada proses pengurusan kes psikologi termasuk prosedur saringan pesakit, penggunaan alat penilaian psikometrik serta peranan ahli psikologi klinikal dalam merancang intervensi rawatan. Turut dikongsikan ialah aliran kerja klinik, kepentingan etika kerahsiaan serta pendekatan terapi yang disesuaikan mengikut keperluan individu.
Sesi interaktif bersama-sama pegawai psikologi membuka ruang perbincangan berkaitan dengan cabaran perkhidmatan kesihatan mental, pengendalian kes serta kepentingan kolaborasi multidisiplin antara jururawat dengan profesional kesihatan mental lain dalam memastikan kesinambungan rawatan yang efektif.
Lawatan akademik ini diharap dapat meningkatkan kompetensi pelajar kejururawatan dalam aspek penjagaan kesihatan mental, sekali gus menyumbang kepada penghasilan tenaga kesihatan yang lebih peka, beretika dan berempati dalam perkhidmatan kepada masyarakat.