Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan komited menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian daripada peralihan negara ke arah mobiliti rendah karbon dan pembangunan industri automotif berteknologi tinggi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Julau dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 di Dewan Rakyat semalam berhubung dengan usaha menggalakkan penggunaan EV, jumlah stesen pengecas sedia ada serta perancangan penambahan kemudahan tersebut.
Menurut beliau, hala tuju itu selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 yang menyasarkan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) berteknologi pintar, cekap tenaga serta bercirikan pelepasan karbon rendah atau sifar.
Bagi merangsang permintaan domestik, kerajaan memperkenalkan beberapa insentif fiskal utama termasuklah pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV import sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2025. Bagi EV pemasangan tempatan (CKD) pula, pengecualian penuh duti import, duti eksais dan cukai jualan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027.
Selain itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menyediakan penolakan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 setahun bagi perbelanjaan berkaitan dengan kemudahan pengecas EV di kediaman, termasuk kos pembelian, pemasangan, sewaan dan yuran langganan perkhidmatan pengecas. Penolakan cukai ini boleh dituntut sehingga Tahun Penilaian 2027.
Bagi segmen dua roda, kerajaan melaksanakan Program MARiiCas yang menawarkan rebat sehingga RM2,400 bagi pembelian motosikal elektrik tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
YB Datuk Seri Johari berkata, langkah galakan tersebut menunjukkan impak yang ketara terhadap peningkatan penggunaan EV di Malaysia.
Katanya,
Berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah kenderaan elektrik jenis penumpang meningkat daripada 10 unit pada 2018 kepada 41 092 unit pada 2025, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 79 584 unit, manakala jumlah motosikal elektrik meningkat daripada 354 unit pada 2018 kepada 10 780 unit pada 2025, dengan jumlah terkumpul sebanyak 17 626 unit.
tambahnya,
Dari segi prasarana, kerajaan menetapkan sasaran pemasangan 10 000 unit kemudahan pengecas EV awam menjelang akhir 2025, merangkumi 1500 unit pengecas jenis arus terus (AT) atau pengecas pantas dan 8500 unit pengecas arus ulang-alik (AU).
Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 5624 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara, bersamaan dengan 56 peratus daripada sasaran keseluruhan. Daripada jumlah itu, 1923 unit merupakan pengecas AT, melebihi sasaran asal, manakala 3701 unit ialah pengecas AU.
Beliau berkata, pencapaian pengecas AT yang melepasi sasaran mencerminkan keutamaan pengguna terhadap kemudahan pengecasan pantas serta keyakinan industri untuk melabur dalam infrastruktur berkapasiti tinggi di lokasi strategik seperti lebuh raya, bandar dan jaringan jalan utama.
Walaupun jumlah keseluruhan belum mencapai 10 000 unit, perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks pasaran EV yang masih berada pada fasa peralihan. Ketika ini, nisbah kemudahan ialah kira-kira satu pengecas awam bagi setiap lapan EV, yang disifatkan memadai untuk menyokong penggunaan lebih 45 000 EV.
Kerajaan juga mengakui pembangunan infrastruktur berdepan dengan cabaran termasuklah kos pemasangan yang tinggi, khususnya bagi pengecas DC, keperluan naik taraf grid elektrik serta proses kelulusan melibatkan pelbagai pihak berkuasa.
Bagi menangani isu berkenaan, kerajaan melalui PLANMalaysia memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) yang dipanjangkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyelaras dan mempercepat proses kelulusan pemasangan pengecas EV dalam tempoh sehingga 14 hari bekerja.
Sesi libat urus turut dilaksanakan bersama-sama pihak industri termasuklah Persatuan Industri Pengecas Kenderaan Elektrik (PIPEV) dan Malaysia Zero Emission Vehicle Association (MyZEVA) bagi mengenal pasti kekangan pelaksanaan seperti kos, kapasiti grid dan kebolehcapaian lokasi.
Selain itu, kerajaan mengadakan libat urus dengan konsesi lebuh raya, pusat beli-belah, pasar raya besar, sektor perhotelan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pembangunan rangkaian kemudahan secara holistik. Beberapa PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut melantik pengendali stesen pengecasan untuk menyediakan kemudahan pengecas di ruang letak kereta awam.
YB Datuk Seri Johari turut menegaskan bahawa dasar kerajaan kekal konsisten dalam menggalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga dan xEV berkembang secara mampan dan selamat, di samping menyokong pembangunan industri serta ekosistem EV dalam negara.