Diterbitkan pada 10 Mac 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kluang – Timbalan Menteri II, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi Habibollah telah merasmikan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Desa (PKD) Layang-Layang, Kluang, Johor semalam.

Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi Habibollah merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang.

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang yang keempat dibangunkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), selaku agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini ialah fasiliti kemudahan yang menyediakan platform hab reka cipta, teknologi dan inovasi kepada komuniti. Pembangunan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di sini juga merupakan hasil kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn dan Pusat Komuniti Desa Layang-Layang melalui model Quintuple Helix, iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar.

Menurut Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi Habibollah, pelaksanaan STIE membolehkan PKD Layang–Layang dipilih sebagai PKD rintis dalam pelaksanaan projek STIE Keluarga Malaysia dengan menggunakan ruang PKD dan pembekalan kelengkapan peralatan dan aplikasi teknologi STIE.

Program pembudayaan STIE ini memberikan manfaat kepada masyarakat setempat dengan menggarap idea kreatif dan menyuntik elemen inovatif, khususnya dalam kalangan belia luar bandar. Komuniti luar bandar yang berkemahiran STIE juga dapat menjana pendapatan dan pekerjaan melalui aktiviti pembangunan prototaip produk inovasi ke peringkat prakomersilan dan mereplikasi projek inovasi kepada komuniti lain.

Pelaksanaan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia bertujuan untuk membudayakan STIE serta membantu meningkatkan kemahiran penciptaan inovasi berkualiti dalam kalangan masyarakat. Ruang Reka ini memberikan peluang kepada masyarakat setempat berkumpul dan berinovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan peralatan lain secara praktikal. Hal ini sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti dan ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea serta kreativiti yang dapat dipasarkan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Setiausaha KPLB, Dato’ Ramlan Harun.

(Sumber: Facebook MOSTI)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi