Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tempoh menunggu bagi pemeriksaan menggunakan mesin pengimejan resonans magnet atau magnetic resonance imaging (MRI) di hospital kerajaan berjaya dikurangkan daripada 23 minggu kepada 18 minggu, iaitu pengurangan sebanyak 22 peratus hasil pelaksanaan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital.
Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Haji Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, data pada tahun 2025 menunjukkan penurunan purata masa menunggu tersebut selepas pelaksanaan program berkenaan yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan awam di seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Negara sebagai maklum balas kepada pertanyaan YB Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai langkah yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani kekurangan kemudahan MRI di hospital daerah, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya,
Pada ketika ini, terdapat 39 mesin MRI yang beroperasi di 40 hospital yang mempunyai pakar radiologi dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi itu memerlukan tenaga kerja terlatih serta kemahiran khusus bagi memastikan proses diagnosis dilakukan dengan tepat dan selamat.
Beliau turut memaklumkan bahawa KKM sedang memohon peruntukan tambahan melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi memperoleh 11 unit MRI baharu untuk hospital pakar sedia ada serta empat unit lagi untuk hospital baharu yang sedang dalam pembinaan.
Beliau menjelaskan bahawa mesin MRI pada masa ini hanya ditempatkan di hospital jenis 1 dan jenis 2 yang berfungsi sebagai pusat rujukan kepada hospital jenis 3 dan jenis 4.
Bagi hospital yang tidak mempunyai kemudahan MRI, Jabatan Radiologi tetap menyokong proses diagnosis melalui penggunaan peralatan lain seperti mesin X-ray dan mesin ultrabunyi serta kerjasama dengan hospital kluster untuk memastikan pesakit terus mendapat rawatan yang sewajarnya.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam, khususnya bagi memastikan akses diagnosis yang lebih baik kepada rakyat termasuklah di kawasan luar bandar.