Diterbitkan pada 1 April 2026, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Program i-GEN 2026 (Competition and Exhibition for Innovative Generation) anjuran Kolej Poly-Tech MARA, Alor Setar berjaya menghimpunkan bakat muda, pendidik, profesional industri serta institusi pendidikan dalam satu platform yang menyemai budaya kreativiti, pemikiran kritis dan inovasi berimpak tinggi.

Program yang berlangsung di Kedah Digital Library, Alor Setar itu merupakan pertandingan dan pameran inovasi yang melibatkan penyertaan murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, para pendidik serta profesional industri.

Program ini turut menyerlahkan pendekatan rentas bidang melalui tiga domain utama yang dipertandingkan, iaitu Artificial Intelligence and Smart Technology Innovation, Creative and Product Innovation dan Sustainable and Environmental Innovation yang memberikan ruang kepada peserta untuk menampilkan penyelesaian inovatif terhadap isu dunia sebenar, sama ada melalui pemanfaatan kecerdasan buatan (AI), pembangunan produk kreatif mahupun penyelesaian lestari yang mesra alam.

Menurut YBrs. Ts. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir, Pensyarah Unit Biologi, UiTM Cawangan Perlis, tiga domain utama yang dipertandingkan ini memberikan pendedahan menyeluruh kepada para peserta tentang kelebihan teknologi pintar, kreativiti produk dan inovasi lestari yang mampu menyelesaikan cabaran dunia sebenar.

Katanya,

Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap aplikasi inovasi semasa, malah membantu membentuk generasi yang celik teknologi, kreatif, berorientasikan penyelesaian dan peka terhadap kelestarian alam sekitar.

Beliau juga menyifatkan penyertaan dalam Program i-GEN 2026 ini sebagai platform berharga untuk mendapatkan pendedahan terhadap perkembangan teknologi semasa, khususnya dalam bidang AI, selain memperluas jaringan kerjasama dengan agensi dan pihak industri.

YBrs Ts. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir menilai kecanggihan produk inovasi berasaskan AI di Kedah Digital Library, Alor Setar.

Antara pengisian utama yang mencuri tumpuan ialah forum “AI untuk Generasi Masa Hadapan” yang menampilkan dua panel berpengalaman, iaitu YBrs. Ts. Muhamad Arief Zainal Khatib, Ketua Digital Excellence, PETRONAS Dagangan Berhad dan Mohd Shahrul Nizam Awang, Pegawai Bahagian Teknologi Maklumat, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang memberikan pendedahan tentang peranan AI dalam membentuk masa hadapan pendidikan, pekerjaan dan inovasi generasi muda.

YBrs. Ts. Muhamad Arief Zainal Khatib dan Mohd Shahrul Nizam Awang berkongsi maklumat dalam forum “AI untuk Generasi Masa Hadapan”.

Para peserta juga turut disajikan dengan sesi perkongsian oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Zahrah Yahya dari Universiti Poly-Tech Malaysia, sementara ucaptama disampaikan oleh YBrs. Prof. ChM. Dr. Mohd Hazwan Hussin, Pengarah Centre for Innovation and Consultation, Universiti Sains Malaysia dan dihiburkan dengan persembahan oleh Pusat Sains Negara yang menambahkan elemen interaktif dan inspiratif sepanjang program berlangsung.

Turut memeriahkan acara ialah reruai pameran peserta dan produk inovasi yang menampilkan pelbagai hasil ciptaan kreatif dan penyelesaian baharu daripada peserta sekolah, institusi dan profesional.

Pameran ini bukan sahaja memberikan peluang kepada peserta untuk mempromosikan idea mereka, malah membuka ruang penilaian, perkongsian ilmu dan jaringan bersama-sama antara pengunjung, juri serta pemain industri.

Persembahan interaktif Pusat Sains Negara menceriakan suasana Program i-GEN 2026.

Program ini juga menerima sentuhan penilaian bertaraf antarabangsa apabila beberapa juri dari luar negara dijemput, antaranya The Suez Canal University, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Universiti Brunei Darussalam dan Universitas Harkat Negeri untuk menambah nilai kepada program dan memperkukuh standard penilaian inovasi yang diketengahkan.

Sebanyak 364 penyertaan direkodkan, merangkumi 89 penyertaan kategori profesional, 87 penyertaan kategori institusi dan 188 penyertaan kategori sekolah, sekali gus membuktikan sambutan memberangsangkan terhadap usaha memperkasakan budaya inovasi dalam kalangan generasi masa hadapan.

Program i-GEN 2026 berjaya menonjolkan peranan pertandingan dan pameran inovasi sebagai platform strategik dalam melahirkan generasi yang kreatif, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan menerusi pemanfaatan teknologi, pemikiran inovatif dan semangat kolaboratif.

Kredit Foto: Ts. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi