Diterbitkan pada 5 April 2026, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Seramai 30 peserta yang terdiri daripada para pelajar pascasiswazah, penyelidik dan staf akademik daripada pelbagai institusi tempatan serta antarabangsa menyertai bengkel “Understanding Materials through Data: A Workshop on Structural and Electrical Properties” yang berlangsung di Bilik Inovasi, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.

Program anjuran Special Interest Group (SIG), Advanced Material for Energy Storage Research Group (AMFES) itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Sains Analisis Malaysia (ANALIS) sebagai satu inisiatif memperkukuh kefahaman peserta terhadap pentafsiran data pencirian struktur dan sifat elektrik dalam penyelidikan bahan, sekali gus meningkatkan keupayaan menghasilkan dapatan saintifik yang lebih tepat, berkualiti dan berimpak tinggi.

Para peserta mengikuti sesi bengkel di Bilik Inovasi PJI, UiTM Cawangan Perlis.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Azliana Ramli, Koordinator Unit Penerbitan dan Kecemerlangan, mewakili YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, Rektor UiTM Cawangan Perlis.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan penghargaan kepada AMFES yang menerajui penganjuran bengkel berkenaan, selain menzahirkan terima kasih kepada ANALIS atas sokongan dan kerjasama strategik yang diberikan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Azliana Ramli, Koordinator Unit Penerbitan dan Kecemerlangan mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis.

Menurut beliau, sinergi antara institusi akademik dengan badan profesional amat penting dalam memacu perkembangan ilmu saintifik serta inovasi yang relevan dengan keperluan semasa.

Katanya,

Sinergi antara akademia dengan badan profesional seperti ini sangat penting dalam memperkukuh ilmu pengetahuan saintifik dan merancakkan inovasi.

Beliau berkata, bengkel selama dua hari itu amat signifikan kerana menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang institusi, termasuk UiTM, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Abbottabad University of Science and Technology, Pakistan serta wakil industri daripada Eco Medi Glove Sdn. Bhd.

Ujarnya,

Kehadiran peserta daripada institusi tempatan dan antarabangsa bukan sahaja memperluas jaringan akademik, malah turut meningkatkan keterlihatan UiTM dalam komuniti saintifik yang lebih luas, sekali gus memberikan ruang kepada perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran rentas institusi yang amat diperlukan dalam memperkasakan penyelidikan berkualiti tinggi.

Sementara itu, YBrs. Dr. Nabilah Akemal Muhd Zailani dalam ucapan alu-aluannya mewakili YBrs. Prof. ChM. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman, Presiden ANALIS berkata bahawa bengkel tersebut lahir daripada kerjasama bermakna antara AMFES dengan ANALIS, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan pengetahuan serta kepakaran dalam bidang sains analitikal.

Jelasnya,

Bengkel ini merupakan hasil kerjasama yang amat bernilai yang mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan ilmu dan kepakaran dalam bidang sains analitikal.

YBrs Dr. Nabilah Akemal Muhd Zailani berucap mewakili Presiden ANALIS dalam bengkel tersebut.

Menurutnya lagi, dalam landskap penyelidikan yang semakin kompetitif, keupayaan mentafsir data pencirian struktur dan elektrik secara tepat merupakan asas penting dalam menghasilkan dapatan saintifik yang sahih dan meyakinkan.

Tambahnya,

Pada hari ini, ramai penyelidik mampu menjana data, namun kekuatan sebenar terletak pada keupayaan memahami, menganalisis dan mempersembahkan data tersebut secara meyakinkan. Oleh itu, bengkel seperti ini sangat relevan dan tepat pada masanya kerana dapat membantu peserta memperkukuh kompetensi yang amat diperlukan dalam ekosistem penyelidikan moden.

Beliau juga berkata AMFES akan terus komited dalam memperkasakan bidang sains analitikal dan memperkukuh kapasiti penyelidikan pada peringkat tempatan serta antarabangsa melalui kolaborasi strategik yang berterusan.

Penganjuran bengkel ini dilihat selari dengan usaha berterusan UiTM Cawangan Perlis dalam memperkukuh budaya penyelidikan, memperluas kolaborasi rentas institusi dan industri serta melahirkan penyelidik yang bukan sahaja cekap menghasilkan data, malah berupaya mentafsir, mengolah dan menterjemahkan data kepada penemuan yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan pembangunan negara.

Kredit Foto: AMFES
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi