Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Bekalan makanan negara pada masa ini berada dalam keadaan mencukupi dan stabil.
Demikian kenyataan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Sabu kepada media selepas Program Sentuhan Agro MADANI bersama-sama pemimpin peladang negeri Melaka yang berlangsung di Bukit Katil, baru-baru ini.
Ujarnya,
Rakyat Malaysia tidak perlu khuatir terhadap ketersediaan bekalan makanan negara, namun harga barangan berkemungkinan berubah apabila stok sedia ada habis dan digantikan dengan bekalan baharu yang tertakluk pada harga pasaran semasa.
Tambah beliau, konflik berterusan di Asia Barat berpotensi menjejaskan bekalan minyak dunia dan memberikan kesan langsung kepada kos pengeluaran dan pengagihan makanan pada peringkat global, termasuklah Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan mengamalkan pendekatan kesiapsiagaan krisis dan bukannya darurat, di samping memaklumkan bahawa Perdana Menteri boleh memanggil pihak yang berkaitan pada bila-bila masa bagi tujuan penyelarasan serta arahan lanjut.
Kerajaan juga merancang untuk mengadakan perbincangan bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sekiranya berlaku sebarang perubahan berkaitan dengan subsidi atau bantuan kepada rakyat.
Katanya, agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Pertubuhan Peladang akan terus menyalurkan maklumat terkini kepada petani bagi memastikan sebarang perubahan dapat ditangani dengan segera.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan baik antara Malaysia dengan negara rakan dagang memberikan kelebihan dalam rundingan harga barangan pertanian seperti baja yang sebahagian besarnya diimport.
Dalam majlis yang sama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada beberapa agensi di Melaka bagi memperkukuh rantaian bekalan makanan tempatan, melibatkan Jabatan Pertanian Malaysia (RM3.55 juta), Lembaga Pertubuhan Peladang (RM1.8 juta) dan Jabatan Perikanan Malaysia (RM1.3 juta).
Program tersebut turut menampilkan Jualan Agro MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga hingga 30 peratus lebih murah kepada orang ramai.
Melaka kini mencatatkan sebanyak 16 135 orang ahli peladang di bawah lima Pertubuhan Peladang Kawasan, sekali gus mencerminkan sokongan kukuh komuniti tempatan terhadap sektor agromakanan negara.