Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau − Dalam mendepani cabaran perubahan iklim, pencemaran laut dan eksploitasi sumber secara berlebihan, pembangunan program teknologi marin lestari kini dilihat sebagai satu keperluan mendesak bagi memastikan sumber laut negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Pensyarah Kanan Unit Teknologi Marin Lestari, YBrs. Puan Rohayu Ramli, berkata, Malaysia sebagai negara yang kaya dengan sumber laut amat bergantung pada ekosistem marin dalam pelbagai sektor penting seperti perikanan, pelancongan, pengangkutan maritim serta keselamatan makanan.
Katanya,
Teknologi marin lestari kini menjadi semakin penting kerana negara kita sangat bergantung pada sumber laut walaupun tekanan terhadap ekosistem laut seperti pencemaran, perubahan iklim dan eksploitasi sumber yang berlebihan semakin meningkat.
Menurut beliau, pembangunan program teknologi marin yang berteraskan kelestarian amat diperlukan agar sumber laut dapat dimanfaatkan secara bijaksana tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem.

Beliau menjelaskan bahawa industri marin kini memerlukan graduan yang bukan sahaja mempunyai asas kukuh dalam sains marin, tetapi juga kemahiran teknikal seperti penggunaan teknologi pemantauan laut, analisis data persekitaran, pemetaan ekosistem marin serta pendekatan pengurusan sumber secara lestari.
Beliau turut menjelaskan bahawa program Teknologi Marin Lestari berperanan melengkapkan pelajar dengan kompetensi tersebut melalui gabungan pembelajaran teori dan pengalaman praktikal.
Ujarnya,
Pelajar didedahkan kepada kerja lapangan, penggunaan peralatan saintifik, analisis makmal serta pemahaman terhadap isu pengurusan ekosistem marin yang membantu mereka membina kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan agensi yang terlibat dalam pengurusan sumber marin.
Mengulas tentang perkembangan semasa dalam bidang ini, beliau memaklumkan bahawa beberapa teknologi dan inovasi semakin meluas digunakan dalam sektor marin negara, antaranya teknologi penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi, dron serta pelbagai jenis sensor bagi memantau keadaan ekosistem laut seperti terumbu karang, kawasan bakau dan kualiti air marin.
Selain itu, teknologi akuakultur lestari juga semakin berkembang sebagai satu daripada pendekatan penting untuk meningkatkan pengeluaran makanan laut tanpa memberikan tekanan berlebihan kepada sumber semula jadi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dengan pihak industri amat penting dalam memperkukuh pembangunan teknologi marin negara di samping dapatan penyelidikan dapat memberikan manfaat kepada pembangunan ekonomi dan kelestarian ekosistem marin.
Jelasnya,
Universiti berperanan menjalankan penyelidikan dan menghasilkan pengetahuan baharu, manakala agensi kerajaan bertanggungjawab merangka dasar serta pelaksanaan pengurusan sumber marin dan industri pula menjadi platform bagi aplikasi teknologi dan inovasi yang dibangunkan.

Walau bagaimanapun, usaha memperkenalkan teknologi marin lestari di Malaysia masih berdepan beberapa cabaran, termasuk kekangan kesedaran masyarakat, kos pelaksanaan teknologi yang tinggi serta keperluan kepakaran teknikal yang khusus.
Beliau berpandangan bahawa graduan baharu mempunyai peranan besar dalam membantu mengatasi cabaran tersebut dengan membawa idea inovatif, penguasaan teknologi terkini serta pendekatan pengurusan berasaskan sains.
Seiring dengan peningkatan kesedaran terhadap konsep ekonomi biru, peluang kerjaya dalam sektor marin juga semakin terbuka luas kepada graduan bidang Teknologi Marin Lestari.
Menurut beliau, graduan berpotensi menceburi pelbagai bidang seperti pemantauan dan pengurusan ekosistem marin, penyelidikan biodiversiti laut, industri akuakultur, pengurusan kawasan perlindungan marin, teknologi pemetaan laut serta sektor tenaga boleh baharu seperti tenaga ombak dan angin luar pesisir.
Tambahnya,
Jika anda mempunyai minat terhadap alam sekitar, biodiversiti laut dan ingin menyumbang kepada pemeliharaan sumber semula jadi negara, bidang Teknologi Marin Lestari merupakan satu pilihan yang sangat relevan.
Jelas beliau, melalui bidang ini, pelajar bukan sahaja berpeluang mendalami ilmu sains dan teknologi marin, malah dapat memainkan peranan penting dalam memastikan sumber laut negara diurus secara mampan demi kesejahteraan generasi akan datang.