Diterbitkan pada 10 April 2026, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka — Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Pengucapan Awam “Nuklear untuk Rakyat” yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Melaka menghimpunkan lebih daripada 700 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, guru, pentadbiran sekolah dan wakil dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha mencungkil bakat serta mengiktiraf keupayaan pelajar menyampaikan idea berkaitan dengan sains nuklear secara kreatif dan berkesan.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Kanan (Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi Ali itu berbentuk pitching sebagai satu daripada pelaksanaan aktiviti di bawah Program STI 100³ anjuran Nuklear Malaysia dengan kerjasama SMK Hang Kasturi, Melaka.

Dalam ucapannya, YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi Ali memuji keberanian dan keyakinan para pelajar dalam menyampaikan idea berkaitan dengan teknologi nuklear serta menegaskan bahawa pendekatan sebegini mampu memperkukuh kemahiran komunikasi dan meningkatkan minat terhadap bidang sains dalam kalangan generasi muda.

YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Pengucapan Awam “Nuklear untuk Rakyat”.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta mengucapkan tahniah kepada para peserta dan pemenang, di samping berharap kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada kecemerlangan mereka dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan.

Pertandingan ini dilihat berjaya memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai penggunaan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian, selain melatih kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keyakinan diri melalui sesi pembentangan idea.

Pertandingan yang berlangsung sejak awal tahun ini telah melalui beberapa peringkat saringan sebelum 10 orang peserta terbaik dipilih ke peringkat akhir yang diadakan pada Februari lalu.

Keputusan pertandingan menyaksikan tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Azfar Shahmi Mohd Saifull (5 PVMA) menerusi tajuk “Pembiakbakaan Mutasi Aruhan” yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM200.00 berserta sijil pencapaian.

Johan bagi Pertandingan Pengucapan Awam “Nuklear untuk Rakyat” dimenangi oleh Muhammad Azfar Shahmi Mohd Saifull.

Tempat kedua dimenangi oleh Nurin Batrisyia Mohd Azlan (5 STEM) menerusi tajuk “Teknologi Nuklear dalam Pengawetan Makanan” dengan hadiah wang tunai berjumlah RM150.00 dan sijil pencapaian.

Nurin Batrisyia Mohd Azlan memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Pengucapan Awam “Nuklear untuk Rakyat”.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nur Hanis Farhana Bunyamin (3 OPAL) menerusi tajuk “Peranan Nuklear dalam Membantu Mengesan Pencemaran Alam” yang menerima wang tunai sebanyak RM100.00 berserta sijil pencapaian.

Nur Hanis Farhana Bunyamin memperoleh tempat ketiga dalam Pertandingan Pengucapan Awam “Nuklear untuk Rakyat”.

Selain muncul sebagai juara, Muhammad Azfar Shahmi Mohd Saifull turut meraih Anugerah Khas Slaid Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM50.00 berserta sijil pencapaian.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Hang Kasturi, Tuan Muhammad Haji Aseli; Yang Dipertua PIBG, YBhg. Datuk Haji Kamarul Zaman Haji Jantan; Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, YBhg. Datuk Halim Bachik; Naib Yang Dipertua PIBG, Encik Abd Halim Kasim; Ketua Koordinator, YBrs. Dr. Haizum Ruzanna Sahar merangkap Saintis Program STI 100³ serta pegawai dari Nuklear Malaysia, pentadbiran sekolah dan ahli PIBG yang terlibat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi