Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan memperkukuh penguatkuasaan berintegriti dalam kalangan agensi kerajaan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan, khususnya dalam sektor sumber asli dan tenaga.
Berucap dalam perhimpunan bulanan bersama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam hari ini, beliau berkata tindakan tegas dan konsisten mesti dilaksanakan pada semua peringkat bagi memastikan tadbir urus yang lebih berkesan.
Katanya,
Penguatkuasaan kita tidak boleh lemah. Ketirisan dan penyeludupan tidak boleh dikompromi, dan tindakan mesti diperkukuh.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa dunia kini berdepan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang mengganggu rantaian bekalan dan aliran perdagangan tenaga.
Menurut beliau lagi, gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kos pengangkutan, insurans dan risiko keselamatan, sekali gus memberikan kesan kepada harga minyak dan bahan mentah di pasaran global, termasuk Malaysia.
Jelasnya,
Bekalan mungkin masih ada, tetapi kos untuk membawanya ke pasaran meningkat dengan ketara dan kesannya dirasai di seluruh dunia.
Walaupun berdepan dengan tekanan tersebut, beliau menegaskan bahawa Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk mengharungi cabaran berkenaan, namun mengakui faktor harga global berada di luar kawalan negara.
Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil pendekatan berhemah bagi menyeimbangkan keperluan melindungi rakyat dengan kedudukan fiskal negara melalui pelaksanaan beberapa langkah utama.
Antaranya termasuklah pelaksanaan subsidi diesel bersasar yang memberikan manfaat kepada lebih 343 000 kenderaan pengangkutan barangan pada kadar RM2.15 seliter serta lebih 10 000 nelayan pada kadar RM1.65 seliter. Selain itu, lebih 350 000 penerima program BUDI MADANI turut menerima bantuan tunai, manakala Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mengekalkan harga diesel pada kadar RM2.15 seliter.
YAB Dato’ Seri Anwar berkata langkah penyasaran subsidi ini penting bagi mengelakkan ketirisan selain memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, dengan perbelanjaan subsidi petrol dan diesel mencecah sehingga RM7 bilion.
Dalam sektor makanan pula, kerajaan mengubah pendekatan daripada subsidi pukal kepada kawalan harga yang lebih strategik bagi menangani isu harga ayam dan telur.
Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut termasuklah tindakan terhadap kartel melalui rundingan dan penguatkuasaan yang lebih tegas, sekali gus memastikan harga kekal terkawal, malah ada ketika lebih rendah berbanding dengan semasa tempoh subsidi dilaksanakan.
Tegasnya,
Penjimatan daripada subsidi ini disalurkan semula kepada golongan sasar seperti petani dan nelayan.
Sementara itu, melalui subsidi elektrik bersasar, kerajaan melaksanakan penstrukturan tarif yang melindungi kira-kira 85 peratus pengguna domestik daripada kenaikan bil, selain memberikan manfaat kepada hampir sembilan juta isi rumah melalui Insentif Cekap Tenaga.
Kerajaan turut menyediakan rebat RM40 kepada isi rumah miskin tegar serta bantuan khas kepada institusi pendidikan, kesihatan dan kebajikan.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa segala langkah yang diambil adalah bagi memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dengan keupayaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Tambahnya,
Dalam segala keterbatasan, kerajaan akan terus memperkukuh dasar dan pelaksanaan agar setiap langkah benar-benar meringankan beban rakyat, sambil memastikan ekonomi negara kekal stabil.