Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Karang – Sebanyak 49 orang pelajar Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai kerja lapangan entomologi bagi memperkukuh pemahaman terhadap ekologi, kitaran hidup dan peranan serangga dalam kesihatan manusia.
Program yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kemudahan Pusat Perumahan Pelajar UKM itu merupakan sebahagian daripada kursus Kaedah Parasitologi dan Entomologi Perubatan yang memberikan penekanan kepada kaedah pengumpulan serta pengenalpastian larva, pupa dan nyamuk dewasa sebagai vektor penyakit seperti demam denggi.
Para pelajar turut didedahkan kepada penggunaan entomologi forensik dalam konteks penyiasatan saintifik, sekali gus memperluas kefahaman mereka terhadap peranan serangga dalam bidang forensik.
Sesi kerja lapangan dimulakan dengan taklimat oleh penyelaras kursus, YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon yang menerangkan teknik pengumpulan larva nyamuk dengan menggunakan kaedah cedokan (dipping) serta penggunaan larvisid Abate®.
Aktiviti tinjauan larva dijalankan di sekitar Jalan Sungai Kajang Lama, Pekan Tanjung Karang di bawah bimbingan YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman bersama-sama pegawai makmal.

Aktiviti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk turut ditekankan sebagai langkah penting dalam pencegahan penyakit bawaan vektor, khususnya demam denggi dan amalan seperti gotong-royong, pelupusan sampah secara berkala serta memastikan tiada air bertakung mampu mengurangkan risiko pembiakan nyamuk.
Dalam kajian tersebut, para pelajar berjaya mengenal pasti beberapa spesies nyamuk seperti Anopheles, Aedes, Culex dan Mansonia yang berkait rapat dengan penyakit seperti malaria, denggi dan ensefalitis, sekali gus membantu memahami aspek bionomik nyamuk di kawasan kajian.
Sesi entomologi forensik pula melibatkan analisis dua bangkai arnab yang telah ditempatkan lebih awal di lokasi kajian bagi membolehkan pelajar menilai tahap pereputan serta merekodkan parameter seperti berat dan suhu persekitaran.

Menurut YBrs.. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman, kitaran hidup lalat yang melalui peringkat telur, larva, pupa dan dewasa boleh digunakan untuk menganggarkan tempoh kematian dalam penyiasatan forensik.
Aktiviti tersebut turut merangkumi penangkapan nyamuk dewasa dengan menggunakan kaedah umpan manusia (human landing catch) dan pemasangan perangkap cahaya CDC pada waktu malam.

Para pelajar juga didedahkan dengan teknik pengepinan dan pelabelan spesimen serangga yang penting untuk tujuan pengenalpastian spesies, analisis populasi, kajian epidemiologi serta penyelidikan saintifik.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kompetensi pelajar dalam bidang entomologi perubatan dan menyokong usaha kawalan penyakit bawaan vektor serta pembangunan penyelidikan yang lebih berimpak tinggi.