Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNibong Tebal – Sebanyak lebih daripada 300 orang mahasiswa tahun satu hingga tahun empat Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) menghadiri forum bersama-sama alumni yang bertajuk “Beyond the Scroll, Equipping the Future Chemical Engineers” untuk mempersiapkan bakal graduan dengan realiti sebenar industri yang sentiasa berubah.
Forum tersebut menampilkan tiga orang alumni yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2011, iaitu Ts. Uvannesan Krishnasamy dari Petronas Chemicals Fertilizer, Kedah, Puan Selah Anak Jalak dari Dexcom (M) Sdn. Bhd. dan YM Raja Khairul Anwar Raja Baharudin dari Cenergi SEA Berhad, yang masing-masing memiliki hampir 15 tahun pengalaman sebagai jurutera kimia dalam industri serta YBrs. Ir. Dr. Nur Ayshah Rosli yang juga pensyarah di pusat pengajian tersebut bertindak sebagai moderator.

Penganjuran forum ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai trend dan perkembangan semasa industri, sekali gus membantu mereka memahami kehendak pasaran kerja yang menuntut gabungan kemahiran teknikal serta keupayaan penyelesaian masalah secara kritis merentasi pelbagai sektor kejuruteraan.
Antara inti pati utama yang diketengahkan termasuklah kepelbagaian laluan kerjaya dalam bidang kejuruteraan kimia.
Industri minyak dan gas bukanlah satu-satunya pilihan, sebaliknya graduan turut berpeluang menceburi sektor lain seperti farmaseutikal, tenaga boleh baharu, perubatan dan semikonduktor yang semakin berkembang pesat.
Ahli panel juga menekankan kepentingan penguasaan kemahiran insaniah sejak di bangku kuliah, khususnya kemahiran komunikasi bagi memastikan interaksi berkesan dalam pelbagai peringkat organisasi di tempat kerja.
Forum berkenaan turut membincangkan fasa peralihan daripada dunia kampus kepada alam profesional, dengan penekanan terhadap sikap proaktif, keinginan untuk terus belajar serta keperluan menguasai elemen teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, pengaturcaraan dan perisian simulasi bagi meningkatkan daya saing graduan.
Pada akhir sesi forum tersebut, para pelajar juga diberikan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli panel, dengan soalan tertumpu kepada kebolehpasaran jurutera kimia pada era AI serta strategi dalam menghadapi temu duga pekerjaan.
Program anjuran Jawatankuasa Alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Pusat Pembangunan Alumni USM ini turut diadakan bersempena dengan Karnival Kerjaya USM 2026 dan sambutan Ulang Tahun Ke-25 Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan jurutera masa hadapan yang berkualiti tinggi demi pembangunan negara.
Turut hadir ialah wakil dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM, YBhg. Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad; wakil dari BHEPA, USM, Puan Norzita Nayan serta wakil dari Pusat Pembangunan Alumni, USM, Encik Ahmad Wafi Sahedan.