Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan bengkel intensif yang bertajuk “Hands-On Workshop: Immunohistochemistry for In Vivo Studies” bagi memperkukuh kemahiran penyelidik dalam penggunaan teknik imunohistokimia (IHC), iaitu kaedah penting untuk mengenal pasti dan menentukan lokasi ekspresi protein dalam tisu bagi kajian penyakit, toksikologi dan rawatan perubatan.
Bengkel yang berlangsung di Makmal Integrasi Pengajaran, FSK, UKM Kampus Kuala Lumpur itu merupakan hasil kolaborasi strategik antara CORE, UKM dan syarikat industri, Wan Care Scientific Sdn. Bhd., dengan penyertaan sebanyak 23 orang peserta yang terdiri daripada pelajar prasiswazah, pascasiswazah, kakitangan penyelidikan dan pensyarah dari dalam serta luar UKM.
IHC merupakan teknik makmal sofistikated yang menggabungkan prinsip imunologi dan histologi dengan menggunakan antibodi spesifik bagi membolehkan penyelidik melihat perubahan molekul dan selular secara langsung dalam struktur tisu asal serta membantu mendapatkan maklumat penting berkaitan dengan status penyakit, perkembangan penyakit dan keberkesanan rawatan atau agen toksik.
Program secara praktikal itu dirancang dengan memberikan pendedahan kepada dua teknik pewarnaan IHC, iaitu secara konvensional dan berasaskan kit moden menerusi sesi perkongsian ilmu oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Siti Fathiah dari CORE, UKM serta YBrs. Dr. Raymond Leong dari Wan Care Scientific Sdn. Bhd.


Selain pendedahan teori, para peserta turut menjalani latihan amali bermula daripada proses pewarnaan tisu, teknik penyelesaian masalah hingga analisis hasil pewarnaan, termasuklah cara mengatasi isu seperti pewarnaan latar belakang yang tinggi dan isyarat antibodi yang lemah yang sering menjadi cabaran dalam penyelidikan makmal.
Keunikan bengkel ini turut terserlah menerusi slot analisis data dengan menggunakan perisian ImageJ yang membolehkan para peserta mempelajari kaedah menukar imej mikroskop kepada data kuantitatif secara objektif bagi memastikan integriti dan kualiti hasil penyelidikan setanding dengan piawaian penerbitan antarabangsa.
Penganjuran bengkel ini bukan sahaja mencapai objektif memperkukuh pemahaman prinsip IHC dan meningkatkan kemahiran praktikal peserta, malah turut mempererat kerjasama strategik antara UKM dengan pihak industri dalam usaha melahirkan penyelidik yang kompeten serta bersedia dalam mendepani cabaran sains pada masa hadapan.