Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDengkil – Pusat Latihan Kor Ordnans Diraja (PULNORD) mengadakan lawatan ke Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) yang disertai oleh 19 orang peserta bagi menambah pengetahuan mengenai fungsi dan peranan Atom Malaysia dalam aspek kawal selia sinaran.
Lawatan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta mengenai asas sinaran serta memberikan pengalaman kepada para peserta dalam menjalankan pengendalian peralatan pemantauan sinaran secara praktikal.
Sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan asas perlindungan sinaran telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Sains Kanan, Bahagian Kawal Selia Sinaran, Encik Zulkhairi Othman.

Ujar beliau,
Lawatan ini dapat membuka peluang dan kerjasama dalam berkongsikan pelbagai maklumat antara kedua-dua pihak.
Beliau juga berkongsikan beberapa kajian kes berkaitan dengan sinaran yang pernah berlaku di Malaysia serta langkah pengendalian yang telah diambil bagi memastikan keselamatan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan yang terlibat sentiasa terpelihara.
Lawatan diteruskan dengan sesi latihan praktikal mengenai pengendalian peralatan sinaran.
Dalam sesi berkenaan, para peserta didedahkan kepada penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) serta menjalani simulasi pengesanan sinaran di Pusat Simulasi Tindak Balas Nuklear.

Usaha penubuhan Pusat Simulasi Tindak Balas Nuklear ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi dan kecekapan anggota Pasukan Tindak Balas Nuklear, Jabatan Tenaga Atom, selari dengan Arahan Nombor 1 Majlis Keselamatan Negara.
Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja dapat memberikan ilmu pengetahuan yang baharu kepada para peserta, malah mereka berpeluang untuk lebih memahami langkah yang perlu diambil dalam aspek pengendalian sinaran.