Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyumbang sebanyak RM500,000.00 menerusi akaun simpanan EcoSave-i bagi menyokong inisiatif pemuliharaan UPSI Edu-Forest di Hutan Simpan Behrang yang memperkasakan komuniti orang asli Semai serta menyediakan pengalaman pembelajaran alam semula jadi kepada pelajar dan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama UPSI dan Forest House Sdn. Bhd. itu menjadikan UPSI Edu-Forest sebagai “bilik darjah hidup” untuk pelajar, penyelidik dan komuniti orang asli Semai di Kampung Tibang mempelajari pemuliharaan alam secara langsung melalui pengalaman lapangan.
UPSI Edu–Forest yang meliputi kawasan seluas 25 ekar di dalam Hutan Simpan Behrang mempunyai status perlindungan tiga kali ganda sebagai sebahagian daripada rangkaian ekologi Central Forest Spine, Hutan Simpanan Kekal Malaysia, Hutan Tadahan Air dan Zon Pemuliharaan Altitud Tinggi.
Diketuai UPSI, tapak itu mentakrifkan semula pendekatan pemuliharaan dengan menggabungkan pendidikan, penyelidikan dan pelibatan komuniti secara lestari.
Fokus utama program berkenaan adalah memperkasakan komuniti orang asli Semai di Kampung Tibang, Slim River melalui penyertaan aktif dalam aktiviti pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar.
Menerusi program itu, para pelajar mengkatalogkan biodiversiti bersama-sama penjejak orang asli, penyelidik mengkaji kesihatan hutan, manakala komuniti membantu membangunkan laluan pembelajaran dan kemudahan alam sekitar yang menyokong pemuliharaan, penyelidikan serta pelibatan awam.
Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, UPSI Edu–Forest mencerminkan keyakinan universiti bahawa pendidikan perlu melangkaui dewan kuliah.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen antara ahli akademik, sektor swasta, agensi kerajaan dan komuniti dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar serta pendidikan berasaskan alam semula jadi,” katanya.
Menurut beliau, program itu menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti berimpak di UPSI Edu–Forest melalui Pusat Biodiversiti dan Pemuliharaan dengan sokongan Pusat Transformasi Komuniti Universiti.
“Kini, tapak ini berfungsi sebagai persekitaran pembelajaran imersif untuk pelajar dan penyelidik melalui pengalaman secara langsung yang memupuk kesedaran alam sekitar, rasa ingin tahu saintifik dan tanggungjawab terhadap kelestarian dalam kalangan generasi akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata, UPSI berharap inisiatif berkenaan terus memperkukuh peranan universiti dalam pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan.
Program itu turut membuka peluang kepada komuniti orang asli Semai menyertai tinjauan biodiversiti, inventori pokok dan benih serta pemulihan laluan hutan yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah mengukuhkan peranan mereka sebagai penjaga hutan.
Tok Batin, Yok Chicher A/L Sadai berkata, komuniti mereka kini mempelajari pokok dan hutan melalui gabungan pendekatan moden serta nilai tradisional warisan nenek moyang.
“Aktiviti seperti inventori pokok dan benih membuka mata kami tentang kebijaksanaan nenek moyang boleh bergerak seiring dengan sains,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan darat orang asli Semai di UPSI Edu–Forest, Yok Balan pula berkata, program itu memberikan peluang kepada komuniti mempelajari kemahiran baharu termasuklah membina dan menggunakan peralatan yang sebelum ini jarang-jarang digunakan.
“Kerja amali seperti membina platform pelantar alam dan memulihkan laluan meningkatkan kemahiran praktikal kami sambil memanfaatkan pengetahuan tradisional yang kami miliki,” katanya.
Program tersebut melibatkan 89 orang pelajar, penyelidik dan pengamal dengan pengalaman pembelajaran praktikal dalam pemantauan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan amalan kemampanan berasaskan komuniti.
Selain meningkatkan penghargaan terhadap alam semula jadi dan kehidupan lestari dalam kalangan generasi muda, program itu turut membantu pengumpulan data berkaitan dengan kesihatan hutan, komposisi spesies dan keperluan komuniti bagi menyokong intervensi pemuliharaan jangka masa panjang yang lebih berkesan.
Pemuliharaan UPSI Edu–Forest merupakan antara inisiatif di bawah EcoSave-i yang menampilkan cara kewangan Islam dapat menggerakkan modal untuk kelestarian alam sekitar berlandaskan penciptaan nilai sosial dan ekologi.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Encik Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya percaya bahawa kelestarian perlu melangkaui pemeliharaan alam sekitar dengan memperkasakan komuniti dan membuka peluang kepada generasi akan datang.
Ujarnya,
Melalui program ini, kami menyokong pemuliharaan biodiversiti bagi membolehkan komuniti orang asli mengambil bahagian secara bermakna dalam aktiviti pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar yang turut menyokong pembangunan kemahiran serta penjanaan pendapatan.
Program tersebut turut memberikan pendedahan dunia sebenar kepada para pelajar dan penyelidik melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang meningkatkan kesedaran alam sekitar serta penghargaan terhadap kehidupan mampan.
Pengarah Urusan Forest House, Encik Rayman Ariff Soh pula menyatakan bahawa UPSI Edu–Forest membuktikan pemuliharaan mampu memberikan impak yang melangkaui usaha melindungi alam sekitar semata-mata.
“Melalui kerjasama erat dengan komuniti orang asli, penyelidik dan Jabatan Perhutanan, kami dapat membangunkan ekosistem pemuliharaan yang lebih inklusif dan mampan dengan menggabungkan pengetahuan tradisional serta penyelidikan saintifik,” katanya.
Usaha pemuliharaan itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif EcoSave-i CIMB Islamic, iaitu akaun simpanan Islam pertama di Malaysia yang berfokuskan alam sekitar dengan dana bank membantu membiayai projek alam sekitar di seluruh negara.
Secara keseluruhannya, dengan menghubungkan penyertaan awam dengan hasil pemuliharaan, program ini memperlihatkan cara kewangan dapat mempercepat pembangunan pendidikan, perlindungan biodiversiti dan komuniti secara serentak.