Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah melancarkan program Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) Home sebagai inisiatif baharu bagi membantu rakyat mengurangkan kos elektrik melalui pemasangan sistem solar bumbung kediaman.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Datuk Amar Fadillah Haji Yusof semasa Perhimpunan Bulanan PETRA di Menara PETRA hari ini.
Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran krisis bekalan global (KBG) berikutan peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran tenaga global akibat konflik geopolitik di Asia Barat, di samping mempercepat agenda peralihan tenaga negara.
“Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi inisiatif rebat solar SuRIA Home. Di bawah program ini, pengguna domestik yang memasang sistem Solar ATAP dan memenuhi kriteria kelayakan boleh menerima rebat sebanyak RM600 bagi setiap 1kWac (kilowatt arus ulang-alik) pemasangan solar sehingga maksimum RM3,000 bersamaan dengan 5kWac,” ujar beliau.
Program ini dijangka memberikan manfaat kepada antara 45 000 hingga 50 000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250MW, sekali gus memperluas penggunaan solar bumbung kediaman di seluruh negara.
Program SuRIA Home akan dibuka kepada pemasangan solar di bawah program skim pemasangan panel solar di bumbung rumah Solar ATAP (Solar Accelerated Transition Action Programme) yang mula beroperasi sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi, yang mana terdahulu. Pelaksanaan rebat pula akan bermula pada 1 Jun 2026.
Bagi memastikan bantuan ini dapat dinikmati secara adil dan telus, hanya warganegara Malaysia yang merupakan pengguna individu domestik voltan rendah (LV) dan telah berjaya memula tugas sistem solar ATAP dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) layak menerima rebat dengan had tuntutan sekali bagi setiap individu.
Pengguna yang layak akan diberikan notifikasi menerusi e-mel berdaftar dengan TNB untuk memajukan butiran akaun bank. Pembayaran rebat akan disalurkan terus ke akaun bank tempatan di bawah nama pelanggan TNB yang berdaftar selepas pengesahan permohonan dibuat oleh pihak TNB. Namun begitu, pengguna yang pernah menerima bantuan atau rebat solar sebelum ini tidak layak memohon program ini.
Dalam masa yang sama, PETRA turut menegaskan bahawa mana-mana pihak termasuk penyedia solar yang didapati menyalahgunakan sistem permohonan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan TNB boleh disenarai hitam daripada menyertai program insentif pada masa hadapan.
Pelaksanaan SuRIA Home mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selaras dengan prinsip keterangkuman, kemampanan dan keterjaminan tenaga negara.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, PETRA juga akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif tenaga hijau dan kecekapan tenaga bagi menyokong aspirasi negara mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050.