Diterbitkan pada 24 Mac 2022, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menganggarkan sejumlah 9.9 juta kes tibi di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.5 juta pada tahun 2020, manakala jumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2021 adalah sebanyak  21 727 kes (kadar insiden 63.5 bagi setiap 100 000 orang penduduk), iaitu penurunan sebanyak 1917 kes (8.1 peratus) berbanding dengan 23 644 kes (kadar insiden 72.4 bagi setiap 100 000 orang penduduk) pada tahun 2020. Jumlah kematian tibi adalah sebanyak 2288, menurun sebanyak 32 kematian (1.4 peratus) pada tahun 2021 berbanding dengan tahun 2020 dengan kadar insiden 6.6 setiap 100 000 orang penduduk.

Pada 24 Mac setiap tahun, sambutan Hari Tibi Sedunia telah diadakan di seluruh dunia bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882. Sambutan ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kesedaran, komitmen dan sokongan terhadap usaha pencegahan dan kawalan penyakit tibi yang dilakukan di seluruh negara.

Sambutan yang bertemakan “Invest to End TB. Save Lives” membawa maksud pelaburan bagi memastikan pesakit mendapat akses kepada diagnosis dan rawatan tibi adalah amat penting untuk menyelamatkan pesakit daripada mendapat komplikasi yang tidak diingini seperti kematian akibat penyakit tibi. Pelaburan bagi pencegahan, kawalan dan rawatan jangkitan latent TB, active TB dan drug resistant TB perlu diberikan keutamaan bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035.

Penyakit tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara. Antara tanda penyakit tibi ialah batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, berat badan berkurangan, dan batuk berdarah. lndividu yang mempunyai gejala perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan awal di klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.

Sementara itu, rawatan bagi penyakit tibi melibatkan gabungan empat jenis antibiotik, iaitu Ethambutol, lsoniazid, Rifampicin, dan Pyrazinamide pada fasa intensif selama dua bulan dan kemudiannya diikuti dengan dua jenis antibiolik, iaitu Isoniazid dan Rifampicin pada fasa sambungan selama empat bulan. Pesakit tibi boleh sembuh jika mematuhi jadual rawatan yang telah ditetapkan, sebaliknya pesakit yang tidak mematuhi rawatan yang ditetapkan mempunyai risiko untuk mendapat semula jangkitan tibi dan mengalami kerintangan terhadap antibiotik antitibi. Aspek pematuhan terhadap rawatan sangat penting bagi memastikan pesakit tibi dapat pulih sepenuhnya.

Bagi memastikan pesakit tibi memperoleh rawatan yang terbaik dan sembuh dengan jayanya, sokongan daripada ahli keluarga, rakan sekerja, majikan, dan pertubuhan bukan kerajaan sangat diperlukan. Penyakit tibi dan stigma terhadap pesakit tibi perlu dihentikan. Komitmen daripada semua pihak amat penting bagi mencapai hasrat Malaysia bebas tibi menjelang tahun 2035.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi