Diterbitkan pada 10 Mac 2022, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta hazard banjir dan peta risiko banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penilaian risiko bencana banjir tersebut merangkumi 36 lembangan sungai utama.

“Peta hazard banjir bagi enam lembangan sungai di Lembah Klang dan peta risiko banjir bagi lembangan Sungai Bernam juga telah siap dibangunkan. Pembangunan peta hazard banjir dan peta risiko banjir ini dijangka siap pada tahun 2024,” katanya lagi

Beliau menjawab soalan Dato’ Mohd. Nizar Haji Zakaria dalam Parlimen ke-14 di bangunan Parlimen hari ini berkaitan dengan pendekatan KASA dalam menangani perubahan iklim yang drastik, terutamanya bencana alam pada masa akan datang dan tahap kesiapsiagaan sistem amaran bencana di Malaysia.

Jabatan dan Agensi di bawah KASA seperti JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sentiasa peka dan berusaha untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir. KASA sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara Nombor 20.

Beliau turut menyatakan bahawa hebahan maklumat cuaca dan banjir serta amaran awal kepada pasukan penyelamat akan ditambah baik dan penyelarasan bersama-sama pemegang taruh akan dipertingkat.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas dan Rancangan Malaysia Keduabelas, MET Malaysia sedang memasang lapan buah stesen radar baharu, iaitu di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, dan Sarawak sebagai tambahan kepada 11 buah stesen radar sedia ada. Pemasangan ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022,” ujarnya lagi.

JPS juga telah melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) yang memberi amaran awal kepada agensi berkaitan dengan pengurusan bencana dan orang awam. Siren akan dibunyikan apabila aras air melepasi nilai ambang tertentu untuk memberi amaran awal kepada penduduk setempat.

Katanya lagi, melalui program ini, ramalan banjir boleh diketahui seawal tujuh hari dan amaran banjir akan dikeluarkan seawal dua hari bagi lokasi yang dijangka banjir. Setakat ini, sistem ini telah beroperasi di lembangan Sungai Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 65 peratus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi