Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menyalurkan peruntukan bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan kerja untuk mengurangkan risiko banjir.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) mengikut negeri sebagai langkah mitigasi jangka pendek dan sederhana untuk mengurangkan risiko banjir.
Pada tahun 2022, sebanyak 15 kerja yang dirancang telah dilaksanakan di Kuala Krai dengan anggaran kos sebanyak RM1.1 juta
Beliau menjawab soalan Tuan Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai) mengenai rancangan KASA untuk mengawal banjir besar di Kelantan, khususnya di Kuala Krai melalui kawalan air di hulu Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir.
Tambah beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 secara reka dan bina sebagai perancangan jangka masa panjang.
“Projek ini telah bermula pada 29 Januari 2018 dengan kos siling sebanyak RM699 juta. Status projek terkini adalah sebanyak 75 peratus,” katanya lagi.
Beliau berkata, JPS juga akan memohon projek PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 yang melibatkan komponen Empangan Lebir di bawah RMKe-12 yang menyumbang sebanyak 60 peratus banjir di Kelantan.
“KASA melalui Bahagian Bekalan Air juga menjalankan Kajian Pembangunan Sumber Air Negeri Kelantan (Fasa 2). Kajian ini untuk mengkaji potensi pembangunan sumber air permukaan di lembangan sungai negeri Kelantan sebagai cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS)”
Beliau berkata, pembinaan TAPS ini boleh disepadukan dengan perancangan tebatan banjir dengan mengambil kira keperluan takungan semasa banjir dalam reka bentuk TAPS. TAPS yang mempunyai ruang takungan tambahan boleh menampung lebihan aliran banjir. Reka bentuk TAPS juga perlu disesuaikan supaya kualiti air yang dialirkan ke loji rawatan air tidak terjejas.
“Sebanyak RM650 juta telah dimohon di bawah Rolling Plan Ketiga RMKe-12 bagi pembinaan TAPS dan kerja yang berkaitan di Kampung Pangkal Mak Wan, Machang, Kelantan. Hal ini tertakluk kepada kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan,” ujarnya lagi.