Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia perlu menjalankan penyelidikan bagi penghasilan benih padi yang berdaya tahan tinggi jika ditenggelami air, khususnya apabila berlaku banjir,” kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada petani dan pesawah di Endau, Mersing.
Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba menyambut baik permintaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke arah komitmen kerajaan bagi membantu petani dan pesawah agar tidak rugi jika tanaman mereka terjejas berikutan cuaca ekstrem yang tidak menentu.
Menurut beliau, Agensi Nuklear Malaysia telah memulakan penyelidikan bagi menghasilkan varieti benih padi yang ditambah baik. Varieti baharu benih padi ini diberi nama IS22. Agensi Nuklear Malaysia sentiasa proaktif mencari pelbagai kaedah penambahbaikan dengan menggunakan teknologi nuklear dan sentiasa bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global.
Penyelidikan yang dilakukan bagi tujuan penyelidikan benih padi IS22 ini adalah dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Teknologi MARA serta bantuan teknikal daripada Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Jepun di bawah platform Forum Nuclear Cooperation in Asia.
Tambahnya lagi, Agensi Nuklear Malaysia juga sedang menjalankan penyelidikan padi tahan kemarau yang juga dilaksanakan pada tahun ini dengan menggunakan padi tradisional wangi hitam diaruh mutasi dengan menggunakan alur ion (ion beam) khidmat sinaran yang diperoleh daripada Quantum and Radiological Science and Technology (QST).
Mengulas lanjut tentang hal ini, beliau juga menyatakan bahawa kajian ini mungkin mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan dana penyelidikan sebelum satu varieti yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah.