Diterbitkan pada 23 Mac 2022, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), iaitu agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah diadakan di Hotel EQ, Equatorial Plaza, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam.

Majlis yang diadakan saban tahun ini adalah untuk mengiktiraf dan meraikan pihak berkuasa tempatan, badan kerajaan dan organisasi swasta yang berjaya mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 atau Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C).

Sebanyak 13 zon rendah karbon dan 30 rakan kongsi rendah karbon telah menerima pengiktirafan “Berlian”, manakala 22 penyertaan telah diberikan “Pensijilan Sementara” atas usaha pembangunan data penanda aras dan pelan tindakan rendah karbon dalam kawasan zon dan rakan kongsi rendah karbon.

Menurut Menteri KASA, beliau percaya transformasi ke arah bandar rendah karbon akan menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim secara signifikan, terutamanya di Malaysia. Beliau juga berharap 33 bandar yang terpilih di bawah inisiatif Pelan Induk Bandar Rendah Karbon akan menyediakan inventori dan pelan tindakan pengurangan kadar GHG seawal tahun 2030 dengan jumlah pengurangan sebanyak 33 peratus berdasarkan penanda aras.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Tuan Shamsul Bahar Mohd Nor dan Timbalan Ketua Setiausaha KASA, Puan Nor Afifah Abdul Razak.

(Sumber: Facebook KASA)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi