Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kegagalan cerun adalah antara punca berlakunya kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku pada masa ini selain faktor musim tengkujuh dan hujan lebat yang berterusan.
Menurut Pensyarah Kanan, Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam yang membincangkan topik “Hujan Berterusan, Peka Tanda-Tanda Tanah Runtuh”, tanda awal berlakunya kejadian tanah runtuh boleh dikategorikan kepada dua keadaan, iaitu di kawasan puncak cerun dan di bahagian bawah cerun.

“Tanda awal tanah runtuh yang sering terjadi di bahagian puncak atau di kawasan lereng ialah rekahan yang akan muncul secara selari terhadap cerun atau berserenjang dengan arah cerun itu. Rekahan ini akan melengkung yang menandakan terdapat zon yang mula bergerak di bahagian bawah cerun,” katanya.
Mengulas lanjut, rekahan ini tidak sukar untuk dilihat dengan mata kasar tetapi ada kalanya tempoh kewujudan rekahan ini dengan masa tanah runtuh itu berlaku sangat singkat. Oleh sebab itu, kadangkala tanda ini tidak kelihatan dengan jelas pada mata pemerhatian orang awam.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa antara tanda lain berlakunya kejadian tanah runtuh di bahagian puncak termasuklah keadaan pokok yang menyandar. Hal ini adalah kerana pokok ini perlu dibezakan dengan pokok yang tumbang mengikut graviti mengarah ke arah kecerunan cerun.
Pokok yang tumbang sedemikian mempunyai faktor seperti pokok itu sudah berusia atau tanah sudah tidak mencengkam. Apabila pokok ini menyandar, hal ini menunjukkan kewujudan satah gelinciran secara putaran yang menyebabkan berlakunya pergerakan ke belakang untuk setiap elemen rigid yang berada di atas tanah runtuh.
Untuk bahagian bawah cerun pula, tanda yang paling jelas dapat dilihat ialah aliran air yang mula keluar daripada cerun. Aliran air ini tidak banyak tetapi mencukupi untuk menggambarkan adanya pergerakan air aktif di dalam cerun di kawasan yang lebih dalam berbanding dengan keseluruhan cerun. Hal ini menunjukkan bahawa cerun mengalami pembasahan berterusan di bahagian dalam dan satah yang menyebabkan pergerakan cerun itu akan mula muncul di bahagian dalam cerun tersebut.

Tanda lain berlakunya kejadian tanah runtuh ialah pembenjolan di bahagian bawah cerun. Pembenjolan ini menunjukkan zon tanah itu telah mula berkumpul daripada bahagian dalam cerun. Oleh yang demikian, bahagian bawah cerun itu akan sedikit terkeluar di sebahagian kawasan tersebut. Ada kalanya, pembenjolan ini menggambarkan pergerakan secara perlahan-lahan yang sedang dialami oleh cerun dan menyebabkan cerun itu tidak gagal tetapi sebaliknya tanah itu hanya terhenti di bahagian kaki cerun atau bahagian atasnya.
Dalam konteks ini, cerun rayapan, iaitu cerun yang bergerak secara perlahan-lahan dalam tempoh masa yang lama juga menjadi satu daripada tanda awal untuk mengesan kejadian tanah runtuh. Pertumbuhan pokok yang condong di bahagian bawah dan tegak di bahagian atas di kawasan ini menunjukkan bahawa cerun itu mengalami tekanan yang berterusan akibat sifat bahan cerun itu yang merayap.
Mengulas lebih lanjut tentang kepekaan orang awam akan keadaan sekeliling sebelum melakukan sesuatu aktiviti, beliau berpendapat bahawa orang awam boleh menggunakan pendekatan tidak berstruktur, iaitu didikan pengetahuan tentang kawasan bercerun.
“Orang awam perlu memahami bahawa kawasan bercerun ialah kawasan yang akan mengalami kelemahan struktur apabila berlakunya hujan lebat dan berbahaya jika melakukan aktiviti di kawasan perbukitan,” jelasnya.
Sementara itu, risiko untuk berlakunya kejadian tanah runtuh juga boleh berlaku walaupun hujan tidak lebat seperti yang berlaku di Batang Kali, Selangor baru-baru ini. Hal ini adalah disebabkan oleh pembasahan itu berlaku secara berterusan dan air yang meresap ke dalam tanah itu menyebabkan peningkatan paras air bawah tanah.
“Lama-kelamaan, tempoh untuk paras air bawah tanah itu turun semula kepada paras yang lebih stabil itu singkat. Hal ini menunjukkan berlakunya pelemahan cerun yang berterusan di bahagian dalam. Cerun di Malaysia kebanyakannya ialah cerun tanah baki. Apabila paras air bawah tanah meningkat, keadaan ini menyebabkan terdapat zon yang melemah dan berada jauh di dalam bumi masih basah walaupun keadaan telah kering sekali gus menyebabkan pergerakan tanah secara besar-besaran,” katanya lagi.
Menjawab persoalan berkaitan dengan pembinaan jalan raya, perindustrian dan pembangunan di kawasan cerun dan tanah tinggi, beliau berpandangan bahawa tidak salah untuk membina jalan raya di kawasan perbukitan tetapi perlu melihat faktor kestabilan cerun yang lebih sesuai dan memerlukan lebih pemerhatian jika mahu meneroka kawasan ini sebagai kawasan pembangunan.
Menurutnya, kawasan yang landai kebanyakannya telah digunakan untuk aktiviti perindustrian dan sebagainya. Oleh sebab itu, kawasan pergunungan dan perbukitan menjadi pilihan pihak tertentu untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang. Tindakan ini juga adalah satu daripada akses di kawasan puncak dan terdapat juga penduduk yang tinggal di kawasan tersebut. Situasi ini sememangnya tidak dapat dielakkan.
“Masalah wujud apabila pihak yang terlibat terlepas pandang akan beberapa elemen penting semasa pembinaan jalan raya itu sendiri. Jika kawasan berkenaan pernah berlaku kejadian tanah runtuh, kawasan ini seharusnya perlu dielakkan untuk dijadikan sebagai laluan jalan raya. Hal ini adalah kerana sifat di dalam tanah itu sendiri, yakni apabila telah gagal, pembentukan satah itu akan berterusan untuk suatu tempoh yang lama. Hal ini mendedahkan potensi berlakunya pengulangan pergerakan tanah melalui pembentukan satah yang jauh lebih dalam,” jelasnya.