Diterbitkan pada 14 Jun 2023, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, Pahang dikekalkan setelah diputuskan dalam Mesyuarat The 35th Session of the International Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB35) di Paris, hari ini berikutan semakan berkala (periodic review) menunjukkan bahawa tapak rizab biosfera tersebut telah menepati kriteria Statutory Framework of the World Network of Biosphere Reserves.

Keputusan tersebut adalah berdasarkan syor daripada International Advisory Committee for Biosphere Reserves dengan mengambil kira usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi menambah baik pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini termasuklah mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi tapak rizab biosfera tersebut, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan.

“Syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas pengiktirafan ini dan diharapkan agar pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini dapat terus ditambah baik,” kata Menteri Sumber AsIi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada tahun 2009.

Negara ini juga mempunyai dua lagi tapak rizab biosfera, iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada tahun 2014 dan tahun 2021.

Setakat ini, sebanyak 748 tapak rizab biosfera dalam jaringan rizab biosfera dunia yang merangkumi 134 buah negara dan setiap tapak rizab biosfera tersebut perlu mengemukakan semakan berkala selepas 10 tahun pengiktirafan untuk penilaian semula oleh sekretariat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dalam hal ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sentiasa memberikan sokongan terhadap semua usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk memulihara tapak rizab biosfera sedia ada dan mencalonkan kawasan yang berpotensi sebagai tapak rizab biosfera yang baharu.

Delegasi ke ICC MAB35 diketuai oleh NRECC dan turut dihadiri oleh wakil Kerajaan Negeri Pahang dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi