Diterbitkan pada 20 Julai 2023, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seiring dengan transformasi digital sektor awam, perkhidmatan pembelian tiket dalam talian atau sistem e-tiket Pusat Sains Negara (PSN) yang dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang di Pusat Sains Negara, hari ini adalah sejajar dengan penerimagunaan teknologi baharu.

Pembangunan sistem tersebut juga adalah bertepatan dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021–2025 yang telah menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam sebagai panduan bagi memacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sistem e-tiket PSN dibangunkan dengan menggunakan gerbang pembayaran masa nyata  (RPP) daripada syarikat Payment Network Malaysia (PayNet) dan merupakan sistem terawal yang menggunakan platform RPP dalam agensi kerajaan.

Sistem tersebut memberikan kemudahan dan memudahkan pengunjung untuk membeli tiket secara dalam talian dengan lebih mudah, menjimatkan masa dan boleh membeli tiket di mana-mana sahaja dengan menggunakan peranti mudah alih masing-masing.

Bermula 18 Julai 2023, pengguna boleh mengakses sistem berkenaan melalui pelayar sesawang dan membeli tiket menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Gallery Huawei, manakala di gerbang Apple App Store pula akan diintegrasi dalam masa yang terdekat.

Pada masa ini, perkhidmatan sistem e-tiketPSN hanya menawarkan perbankan Internet dan e-dompet sahaja, manakala kaedah bayaran melalui kad debit dan kad kredit pula sedang diintegrasi bagi memudahkan semua pengguna sistem tersebut.

Turut hadir dalam majlis pelancaran sistem e-tiket PSN tersebut ialah Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Puan Ruziah Shafei dan Pengarah PSN, Puan Mismah Jimbun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi