Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Selaras dengan pelbagai dasar yang dilancarkan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus melaksanakan peranannya dalam memperkasa inovasi dalam industri elektrik dan elektronik, robotik, dron, angkasa, nanoteknologi, bioteknologi, teknologi hidrogen dan teknologi nuklear bagi menjayakan wawasan negara berteknologi tinggi.
Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menepati hasrat kerajaan untuk mengubah masyarakat di negara ini daripada masyarakat yang menjadi pengguna semata-mata kepada masyarakat yang aktif dalam menyumbang dan mencorak revolusi digital dan teknologi.
“Penubuhan Jawatankuasa Khas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merentas kementerian seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam mempersiapkan negara dalam melahirkan modal insan yang mampu meneruskan kemajuan bidang sains, teknologi dan inovasi pada masa hadapan,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam satu kenyataan.
MOSTI menumpukan pelaksanaan program dan aktiviti yang memberikan manfaat kepada rakyat dan pelbagai rancangan memperkasa inovasi termasuklah inovasi sosial dalam kalangan komuniti untuk diperkembang sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah.
Selain itu, MOSTI juga akan terus memacu syarikat pemula tempatan bagi memperkukuh rantaian teknologi bernilai tinggi dan menyediakan ekosistem sains, teknologi dan inovasi yang telah dirancang.
Penguasaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) merupakan tindakan yang bijak bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang kerana teknologi AI menjadi “alat” kepada ahli teknologi, syarikat pemula dan orang ramai bagi melonjakkan penguasaan mereka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi serta mempercepat kemajuan negara.