Diterbitkan pada 8 November 2023, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Buku Galau yang kini sering menjadi pilihan masyarakat untuk membaca ataupun menulis telah berjaya meneroka emosi dengan memberikan pandangan tentang cara memahami, mengurus perasaan dan pemikiran sekali gus membuktikan bahawa kekuatan bahasa mampu mempengaruhi psikologi manusia.

Minat terhadap bahasa yang mudah dan ringkas serta pengamatan terhadap emosi pembaca melalui ungkapan yang indah dengan makna tersirat yang mendalam adalah antara faktor buku tersebut digemari oleh orang ramai pada masa ini.

“Ungkapan positif umpama mutiara kata yang diterbitkan melalui buku Galau itu boleh dikatakan sebagai satu daripada pendekatan kaunseling secara tidak langsung kerana buku tersebut menjadi psikopendidikan dalam bentuk bimbingan melalui penulisan yang berpotensi meningkatkan daya tahan emosi, fikiran dan tingkah laku pembaca,” kata Ketua Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Dr. Mazila Ghazali.

Menurut beliau, pesanan ringkas yang cuba disampaikan menerusi penulisan buku tersebut memberikan dukungan emosional seakan-akan perasaan atau pengalaman pahit dan manis dalam hidup pembaca dapat didengari dan difahami.

Kesan kognitif dan emotif daripada buku tersebut membuatkan pembaca dapat menyelami makna tersirat yang disampaikan melalui ungkapan yang diterbitkan sehingga merasakan bahawa hal yang diperkatakan dalam buku itu adalah serupa dengan pengalaman hidup pembaca dan berasa mereka tidak bersendirian.

Tambah beliau, buku tersebut dapat membantu mengubah pemikiran dan perilaku pembaca untuk tidak hanya memfokuskan sudut pandang negatif apabila berhadapan dengan suatu masalah atau kesulitan hidup, tetapi melihat situasi itu dari perspektif yang lebih positif.

Jelas beliau, apabila seseorang individu berhadapan dengan kesukaran hidup dan tiada tempat bergantung untuk meluahkan perasaan dan berkongsikan masalah, aktiviti membaca buku yang mengandungi kata-kata positif mampu membantu memberikan ketenangan awal kepada individu tersebut.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa aktiviti membaca bukan sahaja membebaskan fikiran manusia daripada pemikiran negatif, malah membantu seseorang itu untuk mendapatkan idea, nasihat dan kaedah penyelesaian yang berkesan bagi menangani kegusaran yang dirasakan dalam mendepani kesukaran hidup.

Golongan muda khususnya, dilihat lebih cenderung memilih buku tersebut sebagai bahan bacaan kerana membuatkan mereka berasa terhubung dengan watak dan cerita yang digambarkan secara tersirat serta ungkapan yang indah dan bermakna dalam buku itu mampu merangsang pembaca untuk melakukan introspeksi diri dan menghindarkan segala perkara yang menjadi pemicu stres.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, YBrs. Dr. Sharil Nizam Sha’ri berkata, ungkapan dalam buku tersebut mudah difahami, berbentuk ayat aktif yang bertenaga dalam menyeru atau mempengaruhi pemikiran dan tindakan pembaca serta diselitkan dengan elemen perekaan imej dan warna yang ceria.

Bukan itu sahaja, buku Galau juga mengetengahkan pengenalan semula bahasa Melayu klasik yang seharusnya dilestarikan, khususnya dalam penulisan kreatif sebagai bahasa unik yang mencerminkan kekayaan budaya dan kesusasteraan Melayu.

Pengenalan semula terhadap bahasa Melayu klasik mampu menjadi wahana ilmu yang indah dan penuh bingkisan idea dalam bingkai kreatif untuk membentuk golongan pembaca yang beradab, bersantun dan berilmu sekali gus dapat melahirkan penulis baharu karya kreatif yang menghayati dan mengamalkan nilai murni dalam mesej yang disampaikan menerusi penulisan.

Mengulas lebih lanjut, bahasa Melayu klasik berkemungkinan besar sukar untuk difahami oleh pembaca yang jiwanya sudah sebati dengan penggunaan bahasa moden pada zaman globalisasi ini, jadi penggunaan bahasa ini perlu disesuaikan dengan khalayak pembaca dan konteks penulisan serta digunakan secara bijaksana untuk mendapatkan keberkesanannya.

Memelihara dan memulihara bahasa Melayu klasik dapat memastikan warisan budaya dan intelek bangsa Melayu terus hidup dan relevan dalam konteks dunia moden.

Selain berpotensi untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat dan melahirkan masyarakat yang kreatif dan berdaya saing untuk meningkatkan taraf hidup, penulisan buku seumpama ini membuka peluang kepada masyarakat, khususnya golongan muda untuk menceburi bidang penulisan kreatif dan memperkasakan industri buku di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi