Diterbitkan pada 18 Jun 2024, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sebagai tanda sokongan kepada kerajaan yang sentiasa komited dalam memacu Malaysia menjadi sebuah destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) di rantau Asia Tenggara, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Kolej Pengajian Pengkomputeraan, Informatik dan Matematik telah menganjurkan Kursus Kemahiran Digital Pengenalan kepada AI Chatbot.

Kursus tersebut diadakan di Makmal Komputer, Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis bermula pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan disertai oleh kakitangan akademik dan bukan akademik, mahasiswa serta alumni universiti berkenaan.

“Penganjuran program seumpama ini adalah untuk membantu dan melatih warga universiti mengenai kemahiran digital AI dengan harapan agar mereka boleh menggunakan teknologi ini secara lebih efektif dan berkesan,” kata Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Pengkomputeraan, Informatik dan Matematik, YBrs. Dr. Aznoora Osman.

Tambah beliau, selain pendedahan tentang asas dan panduan yang berguna untuk menggunakan chatbot ChatGPT AI, kursus ini juga menekankan penggunaan AI untuk tujuan pengurusan organisasi bagi memudahkan para peserta menggunakan ilmu tersebut, khususnya ketika bekerja.

Sepanjang kursus berkenaan berlangsung, para peserta dilatih menggunakan ChatGPT AI dan Perplexity AI sambil dibantu oleh beberapa orang fasilitator yang mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam bidang ini.

Puan Nur Izzah Asmady menyampaikan taklimat pengenalan dan penggunaan asas ChatGPT AI di Makmal Komputer, Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis.
Taklimat pengenalan dan penggunaan asas mengenai Perplexity AI telah dikongsikan oleh Encik Muhammad Khairul Izzat Roslan.

Turut hadir dalam kursus ini ialah Koordinator Unit Strategik dan Transformasi Universiti, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nadia Abdul Wahab dan Pengarah Program, Encik Muhammad Hifzhan Azma Fizal.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi