Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kelapa telur yang dikenali juga sebagai kelapa gading semakin mendapat perhatian masyarakat dengan harga yang boleh mencecah hingga RM5.00 sebiji dalam pasaran.
Dalam program demonstrasi anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bagan Datuk baru-baru ini, Pengurus Ladang MARDI Bagan Datuk, Encik Mohamad Khalil Wahab berkongsikan tentang keistimewaan kelapa telur dan teknik pemprosesan yang tepat.
Maklumat mengenai kelapa telur ini turut dikongsikan oleh penunjuk cara kelapa telur, Encik Mohd Pauzipardi yang memperincikan tentang kaedah pemprosesan yang betul untuk mengekalkan kualiti kelapa telur.
Beliau berkata,
Untuk mengekalkan mutu kelapa telur, teknik tuaian yang betul dan pemilihan tandan yang tepat adalah penting bagi memastikan kelapa tidak pecah semasa diproses.
Pada masa yang sama, beliau juga berkongsikan beberapa peralatan yang digunakan dalam proses tersebut seperti tanduk kerbau yang mudah lentur dan pisau tahan karat bagi menjaga kualiti sabut serta kulit kelapa.

Katanya, MARDI telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun terhadap kelapa telur dan hasil kajian menunjukkan bahawa kelapa telur yang disimpan di dalam peti sejuk akan menghasilkan air kelapa yang lebih manis, sekali gus meningkatkan nilainya dalam pasaran.
Kongsi beliau,
Untuk memastikan air kelapa telur boleh diminum dengan selamat, empat langkah utama perlu dipatuhi. Langkah pertama melibatkan pembentukan tapak di bahagian bawah kelapa telur menggunakan pisau tahan karat. Kedua, sabut kelapa dipotong dengan berhati-hati agar hanya tempurung yang terkena pisau. Langkah ketiga, takikan pada tempurung hendaklah dilakukan tanpa menjejaskan isi kelapa. Akhir sekali, kelapa dicucuk dengan menggunakan tanduk kerbau sekitar satu inci secara perlahan. Setelah isi kelapa dikeluarkan dan dikekalkan dalam bentuk bulat, isi kelapa ini dibungkus di dalam plastik jernih untuk memastikan kualitinya dalam keadaan baik.
Beliau juga memaklumkan bahawa MARDI Bagan Datuk turut menawarkan kursus penghasilan minyak kelapa dara (VCO), menyediakan kemudahan laman ternakan kelapa telur, kilang sabut dan test bed VCO sebagai langkah dalam menyokong industri kelapa di Malaysia.
Encik Mohamad Khalil Wahab turut menyatakan bahawa MARDI akan melancarkan beberapa jenis kelapa hibrid lain pada masa akan datang hasil R&D yang dijalankan.
Ujarnya,
Orang awam digalakkan untuk menyertai skim latihan yang disediakan oleh MARDI untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan bidang pertanian secara dalam talian atau melalui surat yang dihantar kepada MARDI Bagan Datuk.