Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini mengumumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh akan bermula pada hari Selasa (5 November) dan dijangka berterusan sehingga Mac 2025.
Ketua Pengarah MET Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Hisham Mohd Anip menjelaskan bahawa dalam tempoh ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku dengan risiko banjir yang tinggi di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Dalam fasa awal MTL dari November hingga Disember, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Episod hujan lebat ini dijangka terus berlanjutan di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Februari 2025.
Selain itu, negeri lain juga berpotensi menerima hujan lebat jika luruan monsun yang kuat disertai oleh sistem cuaca tekanan rendah.
“Hujan berterusan selama beberapa hari boleh menyebabkan banjir besar, terutamanya jika berlaku serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut. Keadaan laut juga akan bergelora disebabkan oleh tiupan angin timur laut yang kencang, meningkatkan risiko ombak besar dan kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” ujar YBrs. Dr. Mohd Hisham.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, kawasan utara Semenanjung Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering akibat fenomena kekurangan hujan yang berpotensi menyebabkan gelombang haba.
Walaupun demikian, beliau menambah, keadaan tahun ini dijangka kurang teruk berbanding tahun 2024 kerana fenomena La Nina yang dijangka bermula hujung tahun ini.
MET Malaysia menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa mengikuti maklumat terkini melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca atau media sosial rasmi MET Malaysia.