Diterbitkan pada 15 November 2024, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan dan Program Teknologi Polimer telah menerima kunjungan hormat antarabangsa dari pihak Prince of Songkla University (PSU), Thailand bagi mengukuhkan kerjasama strategik merentasi sempadan dalam usaha meningkatkan pengurusan akademik, potensi universiti pada peringkat global, penyelidikan dan kemenjadian graduan kompeten dalam bidang teknologi polimer.

Delegasi PSU yang hadir terdiri daripada Pengerusi Program Doktor Falsafah (PhD) Teknologi Polimer, YBrs. Penolong Profesor Dr. Sitisaiyidah Saiwari; Pengerusi Program Sarjana Teknologi Polimer, YBrs. Penolong Profesor Dr. Subhan Salaeh dan Timbalan Pengarah Science-classroom, YBrs. Penolong Profesor Dr. Nabil Hayeemasae serta 26 orang mahasiswa dan pascasiswazah PSU.

YBrs. Asst. Profesor Dr. Sitisaiyidah Saiwari ketika menyampaikan ucapan.

Menurut Pengarah program, Encik Mohd Syamaizar Mustaffa, beberapa program akan dirangka dengan lebih strategik bagi mencapai matlamat pertemuan ini seperti aktiviti pengajaran dan pembelajaran kolaboratif; program mobiliti pelajar industri; permohonan dana dan geran universiti serta aktiviti penyelidikan saintifik dan berimpak tinggi dalam bidang teknologi polimer.

Ujar beliau,

Graduan bidang teknologi polimer mempunyai potensi yang besar untuk bekerja dalam industri gergasi seperti industri pembuatan produk polimer, industri pembuatan komponen automotif, industri pembungkusan, industri penghasilan botol minuman dan sebagainya di serantau ASEAN.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademi, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim berkata, kehadiran delegasi PSU terus memperlihat signifikasi kerjasama merentasi negara dalam bidang teknologi polimer.

YBrs. Profesor Madya Ahmad Fikri Mohd Kassim ketika berucap di Podium, UiTM Cawangan Perlis.

Katanya,

Melihat kepada potensi bidang teknologi polimer yang semakin mendapat perhatian daripada warga akademia dan industri di kedua-dua buah negara, kehadiran delegasi PSU ke UiTM Cawangan Perlis pada hari ini terus mencipta peluang untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) baharu, perkongsian kepakaran dan ilmu pengetahuan dalam usaha memajukan bidang ini dengan lebih strategik.

Beliau juga menginginkan sinergi antara kedua-dua universiti ini terus menghasilkan graduan teknologi polimer yang lebih berketerampilan, berfikiran kelas pertama dan memenuhi keperluan pemain industri dalam bidang ini.

Delegasi PSU telah menyertai pelbagai program menarik yang disediakan oleh warga UiTM Cawangan Perlis seperti pertunjukan kebudayaan, program “Ice Breaking and Management Game”, siri lawatan ke makmal, bengkel teknologi polimer serta lawatan sekitar negeri Perlis.

Mahasiswa dalam bidang teknologi Polimer dari PSU mengikuti program “Management Game” yang meningkatkan kemahiran insaniah dan teknikal di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.
Delegasi PSU ketika melawat sekitar UiTM Cawangan Perlis.
Delegasi PSU mengikuti Bengkel Teknologi Polimer di zon Al-Farabi, UiTM Cawangan Perlis.

Pada masa yang sama, Rektor UiTM Cawangan Perlis merangkap penaung program, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi menyatakan bahawa lawatan PSU ke UiTM Cawangan Perlis seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan perbincangan mengenai aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang teknologi polimer.

Jelas beliau,

UiTM Cawangan Perlis memiliki banyak pakar dalam bidang teknologi polimer dan menempa nama pada peringkat nasional dan antarabangsa merentasi bidang inovasi, penyelidikan saintifik dan penerbitan ilmiah.

Oleh itu, rancanglah program yang bercirikan kolaboratif dan boleh memberikan nilai tambah kepada universiti masing-masing dalam membina ekosistem penyelidikan bertaraf dunia.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail; Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim; Pegawai Liaison di UiTM Global, YBrs. Dr Mohd Akmal Hashim; Koordinator Program Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Faiezah Hashim dan YBrs. Dr. Rosyaini Afindi Zaman; mantan Koordinator Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Ts Dr. Zuliahani Ahmad dan warga UiTM Cawangan Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi