Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Optometri dan Sains Penglihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Pusat Pakar Mata VISTA dalam sangkutan klinikal pelajar, pembangunan protokol bagi pengurusan kawalan miopia dan mata kering.
Oleh itu, Program Optometri dan Sains Penglihatan UKM yang diwakili oleh Dr. Woi Pui Juan, Pensyarah Kanan Program Optometri dan Sains Penglihatan dan Puan Norlaili Arif selaku Pengerusi Projek ini beserta kakitangan lain telah mengadakan lawatan ke Pusat Pakar Mata VISTA pada 19 Februari 2025 bertujuan untuk meninjau kemudahan yang disediakan di tempat tersebut.

Sejurus selepas itu, satu mesyuarat diadakan antara pihak Program Optometri dan Sains Penglihatan dan Pusat Pakar Mata VISTA yang telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pakar Mata VISTA, Puan Tan Chin-Ching, manakala Program Optometri dan Sains Penglihatan telah diwakili oleh Dr. Woi Pui Juan yang menggantikan Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan.
Mesyuarat ini telah membincangkan mengenai jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak untuk pembangunan protokol yang lebih bersistematik dalam pengurusan kawalan miopia dan mata kering.
Menurut kajian, kadar prevalen miopia dijangka akan meningkat kepada 50 peratus daripada populasi dunia pada tahun 2050 sekiranya tiada langkah kawalan bagi mengawal peningkatan rabun jauh, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Isu mata kering dalam kalangan individu tanpa mengira usia juga semakin meningkat disebabkan oleh faktor tempoh penggunaan gajet dan komputer yang tinggi.
Sesi lawatan delegasi dari Optometri UKM ini memberikan impak yang sangat positif bagi pihak Pusat Pakar Mata VISTA kerana berdasarkan maklumat yang dikongsikan memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai perkhidmatan dan kursus yang ditawarkan oleh Program Optometri dan Sains Penglihatan.
“Diharapkan kedua-dua pihak dapat memberikan sokongan antara satu sama lain bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan mata di Malaysia dan seterusnya menaikkan nama Program Optometri UKM dan Pusat Pakar Mata VISTA dalam kalangan rakyat Malaysia,” demikian ucapan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pakar Mata VISTA, Puan Tan Chin-Ching.
Program Optometri UKM merupakan program pertama yang menawarkan kursus pengajian dalam bidang optometri di Malaysia dan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mata secara komprehensif seperti Klinik Optometri Primer, Kanta Sentuh, Penglihatan Terhad, Penglihatan Binokular dan Pediatrik Optometri.
Seiring dengan perkembangan semasa, Klinik Optometri UKM berhasrat untuk menambah baik kualiti perkhidmatan dengan mewujudkan beberapa perkhidmatan baharu, iaitu Klinik Pengurusan Kawalan Miopia dan Klinik Pengurusan Mata Kering.