Diterbitkan pada 19 Mac 2025, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha menguraikan sisa makanan, menghasilkan baja yang tinggi serta menyediakan sumber makanan haiwan yang mesra alam, teknologi larva lalat askar hitam atau black soldier fly (BSF) merupakan alternatif lestari yang menjadi pilihan dan berpotensi untuk dikembangkan secara meluas dalam pelbagai sektor.

Demikian antara perkara penting yang dikongsikan oleh dua orang mahasiswa dari Institut Biologi, Fakulti Sains Biologi, Universiti Malaya, iaitu Puan Aisyah Maisarah Abd Razak dan Encik Tiong Chi Yuan ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Menurut Aisyah Maisarah, larva BSF mempunyai keupayaan yang tinggi untuk memakan sisa makanan dengan pantas, sekali gus membantu mengurangkan pembaziran makanan.

Penternakan larva BSF sebagai penyelesaian lestari untuk mengitar semula sisa makanan.

Ujarnya,

Larva BSF juga kaya dengan protein dan sesuai dijadikan sebagai makanan untuk haiwan seperti ayam, reptilia dan ikan serta boleh digunakan sebagai baja yang terbukti berkesan bagi meningkatkan kesuburan tanaman berdasarkan maklum balas daripada pengguna.

Sementara itu, Tiong Chi Yuan menegaskan bahawa BSF tidak berbahaya kepada manusia dan boleh disentuh tanpa khuatir akan risiko kesihatan kerana BSF tidak mengotorkan persekitaran dan tidak membawa sebarang penyakit.

Tambah beliau,

Penternakan lalat BSF di rumah juga dapat membantu mengurangkan kehadiran lalat sampah, sekali gus menjadikan persekitaran lebih bersih.

Menurutnya lagi, BSF boleh diternak secara domestik dengan hanya menyediakan satu dulang berisi sisa makanan dan larva BSF dapat membiak serta dijadikan sebagai sumber makanan haiwan tanpa perlu menunggunya menjadi lalat.

Larva BSF boleh diproses menjadi makanan haiwan.

“Dalam skala industri pula, larva BSF biasanya dikeringkan dengan menggunakan ketuhar gelombang mikro atau ketuhar biasa sebelum dihancurkan menjadi serbuk yang kemudiannya diproses menjadi pelet makanan haiwan yang kaya dengan pelbagai nutrien,” ulasnya lagi.

Produk inovatif yang dihasilkan daripada teknologi larva BSF oleh Incentive Lab.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi