Diterbitkan pada 10 April 2025, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) secara rasminya melancarkan edisi keempat program pemecut (accelerator) terkemukanya, PETRONAS FutureTech 4.0 yang berfungsi dalam mengenal pasti dan menskala syarikat pemula teknologi yang berinovasi untuk masa hadapan industri di Petrosains Suria KLCC, hari ini.

Program tersebut memberikan tumpuan kepada penyelesaian untuk menangani cabaran dunia sebenar dan mentakrifkan semula masa hadapan tenaga, khususnya dalam tiga kategori utama, iaitu industri dan kerja, tenaga serta kimia dan bahan.

PETRONAS FutureTech 4.0 mencari syarikat pemula dengan penyelesaian termaju dalam bidang seperti robotik dan automasi, tenaga boleh baharu, bahan baharu dan pendigitalan industri.

Sebanyak 20 buah syarikat pemula yang terpilih akan berpeluang menyertai program intensif selama 12 minggu yang merangkumi bimbingan pakar, bengkel yang disesuaikan, akses kepada rangkaian dan pasaran baharu serta peluang pendanaan dan inisiatif perintis.

Pada masa yang sama, sesi Jelajah FutureTech: Edisi Kuala Lumpur – Masa Depan Tenaga dan Industri turut diadakan pada hari dan tempat yang sama.

Acara ini menghimpunkan pemimpin industri, rakan korporat dan inovator syarikat pemula untuk meneroka transformasi tenaga dan industri di Asia Tenggara menerusi inovasi dalam kelestarian, pendigitalan dan kecekapan.

Para pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai program PETRONAS FutureTech 4.0 dan cara syarikat pemula menskalakan penyelesaian mereka sambil memacu matlamat kelestarian.

Menurut wakil PETRONAS Ventures, Puan Siti Nurul Narizah M. Nizar, menerusi FutureTech 4.0, PETRONAS komited untuk memupuk budaya inovasi dan keusahawanan di Malaysia serta rantau Asia Pasifik dengan lebih luas.

Tambah beliau,

Saya percaya dengan menyokong dan memperkasakan syarikat pemula teknologi berpotensi tinggi, kita dapat bersama-sama membangunkan penyelesaian yang akan membentuk masa hadapan tenaga dan industri serta menyumbang kepada transformasi sosioekonomi yang mampan.

PETRONAS FutureTech 4.0 dijalankan dengan kerjasama rakan strategik seperti S P Setia Bhd., Xplor Ventures dan Bosch Business Innovations serta sokongan daripada Cradle Fund, SGInnovate dan Japan External Trade Organization.

Dalam program tersebut, sesi Fireside Chats dijayakan oleh wakil dari Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Encik Mohd. Safuan Zairi dan wakil dari S P Setia Berhad, Encik Jeffrey Ham Hon Chung.

Untuk sesi kedua Fireside Chat: “FutureTech Journey – Lessons in Innovation, Growth and Scalling” pula dikendalikan oleh wakil dari Autodata Sdn. Bhd., Yang Mulia Syed Zulhilmi, wakil dari Hydrexia Sdn. Bhd., Encik Zainul Sham serta wakil dari PETRONAS Ventures, Puan Aida Faizura.

Permohonan untuk PETRONAS FutureTech 4.0 dibuka hingga 18 April 2025. Program ini akan bermula dengan Minggu Immersi bersempena dengan Energy Asia pada Jun 2025 dan diakhiri dengan Hari Demo pada akhir Ogos 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi