Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Avenue Katz Adoption Fiesta (AKAF) yang berlangsung di Atrium, Aras G, Evenue K mencipta rekod yang tersendiri apabila menjadi program kucing angkat paling lama yang pernah dianjurkan di Malaysia.

Program yang bermula pada 14 April 2025 hingga 20 April 2025 itu dianjurkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) dan Persatuan Rakan Kucing Malaysia (PRKM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) serta mendapat tajaan oleh Ossycat.
Penganjuran program tersebut membawakan lebih daripada 40 ekor kucing pilihan dari Galeri Animal Malaysia, Taman Kucing MADANI, Laman Kucing Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan MPHS.
“Para pencinta kucing dinasihatkan agar mengutamakan pengambilan kucing jalanan yang diselamatkan sebagai haiwan peliharaan dan bukannya membeli haiwan berkenaan,” kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia merangkap Penaung PRKM, YBhg. Datuk Azman Abidin.


Tambah beliau,
Selain mengurangkan jumlah kucing yang terbiar, pendekatan tersebut akan memberikan sinar baharu kepada haiwan yang selama ini bergelut untuk hidup di jalanan.
Beliau juga berkata, walaupun program ini melibatkan bayaran sebanyak RM150.00, hal ini tidak bermakna kucing itu dijual tetapi sebagai bukti bahawa masyarakat benar-benar mahu membela haiwan berkenaan.
Ujar beliau,
Kesemua kucing tersebut dijaga dengan sempurna termasuklah diberikan pemvaksinan sebelum diserahkan kepada pemilik baharu.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa Taman Kucing MADANI yang dilancarkan pada tahun lalu kini menjadi antara simbol keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan haiwan jalanan dan usaha tersebut bakal diperkasakan dengan pembinaan taman baharu yang lebih besar.
Jelas beliau,
Dalam usaha memperluas perlindungan kepada lebih banyak haiwan jalanan yang memerlukan, taman kucing dengan skala yang lebih besar bakal dibina.
Latar belakang setiap pihak yang mahu mengambil haiwan berkenaan sebagai haiwan angkat akan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kucing tersebut dijadikan sebagai makanan bagi haiwan peliharaan seperti ular sawa.
AKAF merupakan satu daripada usaha untuk memperkasakan dan membudayakan amalan kucing angkat dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Para pengunjung boleh ke Seksyen Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia bagi urusan pelesenan haiwan dan Saito University College untuk mengetahui pelbagai program penguatkuasaan yang ditawarkan di reruai yang disediakan sepanjang program AKAF berlangsung.
Sebanyak 100 orang pengunjung yang terawal juga akan diberikan makanan kucing secara percuma pada setiap hari.
Selain itu, antara aktiviti lain yang dianjurkan bagi memeriahkan program berkenaan termasuklah zoo memelihara haiwan, pertunjukan fesyen kucing dan program pemvaksinan.

Turut hadir dalam program ini ialah Presiden PHM, Encik Arie Dwi Andika serta wakil penganjur bersama dan para penaja program.